Alor Setar: Polis Kedah berjaya menumpaskan pertaruhan membabitkan perlawanan bola sepak dan menahan 31 individu dalam 27 serbuan di seluruh negeri itu sepanjang tempoh Euro 2020 berlangsung.
Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua individu terbabit termasuk dua wanita adalah warga tempatan berusia antara 17 hingga 55 tahun ditahan dalam Op Sofa VII bermula sejak 12 Jun hingga malam tadi.
Menurutnya, polis turut merampas 40 telefon bimbit, empat komputer, tiga komputer riba, satu tablet, dua modem, router dan wang tunai berjumlah RM33,326 sepanjang operasi itu.
“Hasil siasatan dan risikan yang dilakukan, polis menganggarkan nilai pertaruhan keseluruhan sepanjang perlawanan Euro 2020 berlangsung adalah melebihi RM2 juta.
“Pertaruhan dilakukan dengan menggunakan aplikasi WhatsApp, Wechat, Wish dan PUBG serta pelbagai laman sesawang pertaruhan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kamarul Zaman berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 dan boleh didenda antara RM20,000 hingga RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun jika disabitkan kesalahan.
“Kita akan meneruskan usaha membanteras aktiviti perjudian yang masih dilakukan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
“Berikutan itu, kita meminta orang ramai terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan ini kepada polis,” katanya.-METRO