Persembahan cemerlang Farah Ann warnai hari gemilang kontinjen Malaysia

Estimate Reading Time: 2 minutes

MANILA- Persembahan cemerlang ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi di Rizal Memorial Coliseum, di sini, mewarnai hari gemilang kontinjen Malaysia yang berjaya menambah tujuh lagi pingat emas pada hari ketiga Sukan SEA ke-30 di Filipina, hari ini.

Tambahan tujuh emas itu, bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Malaysia yang masih berada di tangga ketiga keseluruhan menerusi kutipan 18 emas, lima perak dan 14 gangsa.

Selain tujuh emas berkenaan, Malaysia turut menambah dua pingat perak, masing-masing menerusi Tan Ing Yueh dalam acara gimnastik artistik (melombol) serta atlet luncur ais, Anja Chong dalam acara 500m luncur ais wanita ‘short track speed’.

Kontinjen negara turut menambah lima gangsa, masing-masing dalam acara gimnastik artistik (senaman lantai lelaki dan palang bertingkat), wushu (sanda lelaki 54kg), skuasy perseorangan lelaki serta acara 500m luncur ais wanita ‘short track speed’.

Tuan rumah, Filipina terus mengungguli carta kutipan pingat menerusi kutipan 47 emas, 31 perak dan 17 gangsa, manakala Vietnam kekal menghuni tangga kedua dengan kutipan 23 emas, 27 perak dan 25 gangsa.

Kilauan emas pertama Malaysia hadir menerusi pemain chess negara, Yeoh Li Tian yang mengungguli acara Rapid Chess lelaki setelah mengumpul mata terbanyak menerusi sembilan pusingan perlawanan di Travelers Hotel, Subic.

Pemain elit boling negara, Timmy Tan terus menambah koleksi pingat untuk kontinjen negara selepas memenangi acara perseorangan lelaki setelah melakar 1,334 jatuhan pin di Pusat Beli-Belah Starmall Edsa, Manila, disusuli emas ketiga menerusi atlet gimnastik lelaki negara, Tan Fu Jie yang memenangi acara kekuda pelana dengan pungutan 13.967 mata.

Pemain skuasy wanita negara, Rachel Arnold terus menceriakan kontinjen negara apabila meraih emas seterusnya selepas mengatasi cabaran sengit rakan sepasukan, Chan Yiwen menerusi keputusan 11-9, 11-7 dan 11-3 di Manila Polo Club.

Farah Ann yang mengungguli acara individu all-round semalam, menyambar pingat emas peribadi kedua setelah memenangi acara palang bertingkat menerusi kutipan 12.367 mata, sebelum gandingan atlet luncur negara yang dibarisi Kynie Chan, Ashley Chin, Anja Chong dan Dione Tan menambah kilauan emas seterusnya selepas mengungguli acara 3,000m wanita berganti-ganti ‘short track speed’ di Pusat Beli-Belah SM Megamall, Manila.

Pemain skuasy negara, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar melengkapkan aksi cemerlang atlet negara setelah menyumbang pingat emas terakhir menerusi kemenangan 11-7, 3-11, 11-9 dan 11-5 ke atas pemain tuan rumah, Robert Andrew Garcia pada aksi final perseorangan lelaki.

Di sebalik keghairahan atlet negara memburu pingat emas, nasib malang menimpa pesilat elit lelaki, Muhammad Faizul M Nasir yang terpaksa dikejarkan ke dua pusat perubatan di Subic, sebelum dirujuk kepada doktor pakar pusat perubatan The Medical City di Clark.

Pemenang pingat perak Sukan Asia 2018 itu yang tidak sedarkan diri selepas terkena tendangan pesilat tuan rumah, Dines Dumaan pada aksi pusingan kedua kelas Putera B (50-55kg) di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic, bagaimanapun, disahkan sudah berada dalam keadaan stabil.

Kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan emas pada hari keempat, esok dalam beberapa acara, badminton, gimnastik artistik, boling padang, sukan berhalangan dan pelayaran.- BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427