Permohonan bantuan JKM secara ‘online’

Estimate Reading Time: 2 minutes

PUTRAJAYA: Kesemua permohonan perkhidmatan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digalakkan dijalankan secara dalam talian selaras dengan Inisiatif Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian (4IR)

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun berkata, usaha itu merupakan inisiatif transformasi digital kementerian dalam mendepani perubahan gaya kerja norma baharu.

“Antaranya, menggalakkan semua permohonan perkhidmatan bantuan JKM dijalankan secara dalam talian” katanya dalam ucapan Majlis Amanat KPWKM 2021 pada Jumaat.

Ucapan itu disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook kementerian berkenaan.

Menurutnya, pangkalan data sedia ada melalui sistem eBantuan JKM perlu dipertingkatkan.

“Saya turut berharap inisiatif dalam talian terus diterokai dan diperkembangkan antaranya memikirkan kaedah terbaik untuk memaklumkan notifikasi penyampaian bantuan kepada penerima menerusi telefon bimbit dengan pantas, efisien dan tepat,” katanya.

Beliau berkata, sebagai kementerian yang cakna terhadap kebajikan masyarakat, KPWKM tidak mengetepikan keperluan golongan orang kurang upaya (OKU).

“Sehingga 25 Januari 2021, terdapat seramai 591,286 OKU yang telah berdaftar namun jumlah ini masih lagi rendah,” katanya.

Rina berkata, warga kementerian perlu menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan dengan menggiatkan usaha untuk membantu lebih ramai OKU didaftarkan pada masa akan datang.

“Ini bagi memastikan mereka tidak terpinggir daripada mengikuti manfaat dan program untuk membina daya tahan, membangunkan daya kemahiran serta dapat meningkatkan fungsi sosial mereka dalam komuniti,” katanya.

Beliau yang turut mengakui berdepan cabaran memahami beban kerja kakitangan JKM setiap hari ditambah dengan situasi Covid-19.

“Sudah pasti sedikit sebanyak ia mempengaruhi emosi dan tenaga kita untuk bekerja di lapangan bagi memberi yang terbaik untuk rakyat walaupun tiada antara kita yang merungut dan mengeluh.

“Terima kasih JKM…. Saya mohon bersabarlah dan teruskan memberi khidmat yang terbaik.

“Saya akan usahakan yang terbaik buat semua,” katanya.

Pada perkembangan sama, Rina turut memaklumkan penubuhan pasukan sukarelawan Skuad Prihatin Negara yang melibatkan Kelab Sukan dan Kebajikan (KESKEB).

“Skuad ini ditubuhkan sebagai kesinambungan kepada Kembara Prihatin Negara dan dengan pembentukan skuad ini ia sangat signifikan dan relevan kerana saya berpandangan penglibatan sukarelawan dapat membantu kementerian menangani banyak isu-isu di bawah bidang kuasa.

“Bukan hanya itu, dengan skuad ini, saya amat berharap semangat saling bantu-membantu ini bukan sahaja dapat diterapkan di kalangan masyarakat, malahan lebih penting lagi di kalangan warga kerja kementerian,” katanya.

Sehubungan itu, sebagai tanda terima kasih, Rina mengumumkan sumbangan RM20,000 kepada KESKEB dan Puspanita.

“Semoga menjadi suntikan semangat untuk ahli KESKEB dan Puspanita untuk terus melaksanakan kerja-kerja sukarelawan,” katanya.

-SH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427