Perluasan dasar fiskal, penyasaran subsidi beri ruang besar bantu rakyat

Estimate Reading Time: 3 minutes

SUDAH tentu antara perkara mendorong rakyat Malaysia untuk menunggu-nunggu pembentangan belanjawan adalah bantuan seperti bayaran pindahan, insentif cukai dan subsidi, manakala penjawat awam pula, menanti-nanti pengumuman umpamanya wang tunai berbentuk bonus dan sebagainya.

Namun, kerajaan kali ini dilihat begitu berhati-hati dalam merencana kewangan untuk memastikan titik keseimbangan dapat dicapai antara disiplin kewangan dengan menyediakan jumlah peruntukan boleh membantu rakyat serta peniaga.

Justeru, rakyat perlu meletakkan pengharapan yang sentiasa berpijak di bumi nyata dengan kerajaan hanyalah antara faktor dan pemudah cara membantu dalam perihal perekonomian seseorang itu.

Ia seumpama bangku mempunyai empat kaki menyokong supaya boleh diduduki dengan selesa dan selamat. Satu daripada kaki kerusi ialah kerajaan, manakala selebihnya adalah pengguna, peniaga dan sektor luaran.

Oleh itu, ia memerlukan kerjasama akrab bagi memastikan ‘kerusi’ berkenaan stabil dan selamat digunakan.

Pada belanjawan kali ini, sekali lagi Kementerian Kewangan (MoF) mengutarakan saiz belanjawan terbesar dalam sejarah, iaitu RM421 bilion bagi 2025.

Daripada jumlah itu, peruntukan perbelanjaan mengurus disasarkan pada paras RM335 bilion, iaitu peningkatan 4.2 peratus, manakala perbelanjaan pembangunan diumumkan RM86 bilion, sekali gus sama dengan tahun ini.

Jumlah hasil pula diunjurkan meningkat sebanyak 5.5 peratus kepada RM340 bilion yang sebahagian besarnya disumbangkan pendapatan daripada hasil percukaian mewakili 76.3 peratus daripada jumlah hasil pada 2025.

Antara perkara menarik perhatian penulis pada belanjawan kali ini adalah peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Pada tahun hadapan, SST bagi barangan bukan keperluan seperti barangan import premium akan dinaikkan. Selain itu, skop cukai perkhidmatan akan diperluaskan meliputi perkhidmatan komersil antara perniagaan.

Semua ini akan menterjemahkan kutipan cukai SST berjumlah RM47 bilion pada 2025 berbanding RM41 bilion pada tahun ini.

Sumbangan SST ini dilihat semakin meningkat dengan nisbah kepada jumlah hasil bakal dicatatkan adalah 13.8 peratus pada 2025 berbanding 12.7 peratus tahun ini.

Peratusan sumbangan SST ini adalah tertinggi dalam sejarah, sekali gus menunjukkan kebergantungan kerajaan kepada SST dalam menerajui cukai tidak langsung semakin meningkat.

Pada pemerhatian penulis, situasi ini melihatkan kerajaan amat berhati-hati dalam strategi untuk menambahkan hasil cukai. Kalau sebelum ini ada mengharapkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula, tetapi bagi memastikan keharmonian dapat dicapai dari segi melaksanakan agenda bersifat reformis, maka jalan tengah diambil dengan meluaskan skop cukai SST.

Di samping itu, kerajaan dijangka akan melaksanakan rasionalisasi subsidi bagi bahan api RON95 pada pertengahan tahun hadapan dengan penjimatan dijangka mencecah RM8 bilion.

Langkah ini dilaksanakan kerana manfaat subsidi pukal hanya memanfaatkan golongan pendapatan tinggi dan bagi mengelakkan aktiviti penyeludupan yang harga bahan api rendah berbanding negara jiran memberi suatu insentif bagi pesalah laku untuk mengambil kesempatan.

Ia dijangka memberi kesan terhadap situasi inflasi dilihat meningkat pada tahun hadapan. Berdasarkan unjuran dibuat MoF, kadar inflasi dijangka berlegar sekitar 2.0 peratus sehingga 3.5 peratus pada 2025 berbanding 1.5 peratus dan 2.0 peratus pada tahun ini.

Pengurangan jumlah defisit

Dengan bertambahnya hasil dan perbelanjaan yang dioptimumkan, maka berlakulah pengurangan dalam jumlah defisit bakal dicatatkan.

Dalam hal ini, kerajaan dilihat terus menyalurkan bantuan lebih banyak kepada rakyat hasil daripada peluasan ruang dasar fiskal.

Untuk rekod, belanjawan kali ini bakal menyaksikan defisit fiskal berjumlah RM80 bilion atau 3.8 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 ketimbang defisit fiskal RM84 bilion atau 4.3 peratus daripada KDNK pada tahun ini.

Melalui Belanjawan 2025 ini, sejumlah RM13 bilion diperuntukkan kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang bakal memanfaatkan 9 juta rakyat Malaysia.

Angka ini mewakili 52 peratus daripada jumlah tenaga buruh Malaysia kini berjumlah 17.2 juta orang setakat Ogos tahun ini.

Selain itu, jumlah penerima SARA juga dilihat melonjak secara signfikan pada tahun hadapan dengan jumlah penerima bakal mencecah 4.1 juta orang ketimbang 700,000 orang pada tahun ini.

Ia menjadi peningkatan 486 peratus dan mewakili 23.8 peratus daripada jumlah guna tenaga di negara ini yang akan menerima wang tunai berjumlah RM100 sebulan dalam tempoh 12 bulan pada 2025.

Selain itu, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) juga diperuntukkan sebanyak RM800 juta pada 2025 yang penerimanya adalah murid dari Tahun Satu sehingga Tingkatan Lima dan penerimanya pula tidak mengira latar belakang ekonomi.

Oleh itu, BAP ini bersifat inklusif dan seharusnya memberi isyarat \kerajaan sedang berusaha meringankan beban kewangan kepada semua warga negara semampu mungkin.

Kesimpulannya, pihak kerajaan memainkan peranan sebagai pemudah cara, pembuka peluang dan pelindung keselamatan agar rakyat Malaysia dapat hidup dengan aman dan sejahtera.

Oleh itu, rakyat disaran merebut segala peluang yang ada dan terus berusaha dengan sedaya upaya untuk meningkatkan taraf kehidupan diri dan keluarga masing-masing.

Penulis adalah Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Berhad
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427