Perlombongan nadir bumi boleh dibuat dengan selamat, kata penyelidik

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Seorang penyelidik elemen nadir bumi (REE) menggesa perbincangan mengenai perlombongan nadir bumi dibuat berdasarkan sains dan bukannya politik.

Azizan Abu Samah, pengerusi petugas khas Akademi Sains Malaysia mengenai perlombongan lestari, berkata perlombongan nadir bumi boleh dilakukan dengan impak minimum terhadap alam sekitar dan sambil menjaga keselamatan.

Beliau berkata, kaedah perlombongan yang mungkin digunakan di Malaysia akan mengambil kaedah beberapa syarikat Cina, yang melombong penyerapan ion elemen nadir bumi yang sama.

Katanya, kebimbangan terhadap radioaktiviti dan produk sampingan toksik sering berlaku. “Saya fikir orang mempolitikkannya dan menjadikannya satu isu besar, tetapi tahap radioaktiviti kurang dari apa yang anda peroleh dari perlombongan bijih timah,” katanya.

“Lagipun, Sunway Lagoon adalah kolam perlombongan lama. Sistem Horas untuk mengepam air di Bestari Jaya bagi Sungai Selangor adalah rangkaian kolam perlombongan timah lama. Bila anda mahu menjadikannya isu politik, sains itu diketepikan.

Azizan berkata, perlombongan nadir bumi hanya boleh dilakukan di kawasan terpilih.

“Sekiranya perlombongan dibuat di daerah aliran air dari empangan Pedu dan Muda, endapan yang terhasil akan mengurangkan kapasiti penyimpanan dan usia empangan itu.”

Katanya, kawasan Ulu Muda menyediakan 70% keperluan air mentah kepada Perlis, dan 96% keperluan di Kedah, sementara 80% keperluan air mentah di Pulau Pinang dipenuhi oleh Sungai Muda, yang bersambung terus dengan kawasan tadahan.

“Sebarang gangguan boleh merosakkan bekalan air di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, hanya syarikat sedia ada perlu diberikan lesen untuk melombong nadir bumi, dengan peraturan lebih ketat bagi memastikan kesan minimum terhadap kerosakan alam sekitar dan impak manusia.

“Bila anda buat perlombongan koboi seperti pernah kita lihat pada emas di Selinsing, ketika itulah kita lihat banyak masalah. Ia tidak boleh jadi percuma untuk semua.”

Perlombongan nadir bumi menjadi tajuk utama baru-baru ini selepas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan perjanjian dengan sebuah syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur untuk mengeksploitasi penemuan nadir bumi di negeri itu. Katanya, ia mungkin mencecah RM62 bilion.

Bagaimanapun, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah, berkata perlombongan nadir bumi tidak akan dibenarkan di hutan simpan atau tanpa kelulusan teknikal.

Elemen nadir bumi mempunyai banyak kegunaan industri, dari ditambah menjadi kegunaan magnet dalam turbin tenaga sehingga paparan elektronik untuk telefon pintar dan televisyen.

“Ketika ini China mempunyai sekitar 90% dari pasaran, tetapi jika Malaysia boleh lombong sendiri, suatu hari nanti kita boleh kuasai hingga 50% dari pasaran global,” kata Azizan. Namun, “China mungkin tidak mahu kita pecahkan monopoli mereka”. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427