Perketat peraturan pembangunan di lokasi risiko wujud lubang benam

Estimate Reading Time: 2 minutes

NEGARA dikejutkan dengan kejadian kehilangan seorang wanita warga India terjerumus ke dalam lubang benam di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 23 Ogos lalu.

Lubang benam adalah fenomena geologi yang mana permukaan tanah terbenam atau runtuh secara tiba-tiba, membentuk lubang besar akibat penyerapan tanah oleh air bawah permukaan tanah.

Pembentukan lubang benam secara tiba-tiba dan sukar diramal sering menyebabkan kehilangan nyawa dan kemusnahan kepada infrastruktur negara.
Lubang benam kerap berlaku di kawasan batu kabur sebagai batuan dasar. Batu kapur dan dolomit adalah jenis batuan larut dalam air, terutama apabila air berkenaan berasid.

Apabila air bawah tanah mengalir melalui retakan dalam batu kapur, ia akan melarutkan batuan secara perlahan, mencipta rongga di bawah permukaan tanah.

Lama kelamaan, apabila rongga menjadi terlalu besar, permukaan tanah boleh runtuh, menghasilkan lubang benam. Kawasan Kuala Lumpur terdiri daripada batuan ini dan ia mungkin menjadi faktor berlakunya kejadian lubang benam.

Selain itu, hujan lebat juga boleh menghakis tanah bawah permukaan bumi menyebabkan lubang benam berlaku. Air bawah tanah mengalir boleh menghakis tanah sekeliling seperti pasir dan kelodak membentuk rongga seterusnya menyebabkan lubang benam.

Sistem saliran air kurang baik mengakibatkan kebocoran paip air serta paip pembentung pecah juga boleh menyebabkan hakisan setempat, menyumbang kejadian lubang benam.

Pembangunan dan pembinaan pesat juga menambah beban kepada tanah serta menyebabkan permukaan runtuh ke dalam rongga bawah tanah. Selain itu, aktiviti seperti penggerudian atau penggalian boleh mengganggu kestabilan tanah.

Lubang benam boleh menyebabkan kerugian ekonomi besar, terutama kepada peniaga dan penduduk. Perniagaan mungkin terpaksa ditutup, sementara kos membaiki infrastruktur rosak boleh mencapai jutaan ringgit. Paling ditakuti, kejadian itu boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap keselamatan infrastruktur di Malaysia.

Impak besar kepada masyarakat dan negara

Memandangkan kesan dan risiko kejadian lubang benam memberi impak besar kepada masyarakat dan negara, perhatian serta tindakan proaktif perlu diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengurangkan risiko kejadian.

Walaupun beberapa faktor menyebabkan kejadian ini adalah kesan semula jadi, namun kegiatan manusia juga menyumbang berlakunya kejadian ini. Kerajaan dan PBT perlu menggubal serta menguatkuasakan undang-undang lebih ketat mengenai pembangunan serta penggunaan tanah di kawasan berisiko tinggi berlaku pembentukan lubang benam.

Ini termasuk keperluan untuk kajian geologi dan hidrologi menyeluruh daripada jabatan atau agensi kerajaan termasuk perunding sebelum sebarang projek pembangunan diluluskan.

Pihak berwajib juga perlu melabur dalam teknologi seperti Radar Penilatan Tanah (GPR), Tomografi Rintangan Elektrik (ERT) dan Lampu Pengesan dan Ukur (LIDAR) untuk mengesan potensi lubang benam sebelum ia berlaku.

Pemantauan teknologi berterusan dapat memberikan amaran awal dan membolehkan tindakan pencegahan diambil lebih awal. Selain itu, sistem pengurusan air dan pembentungan negara perlu diperhalusi untuk mengelakkan hakisan bawah tanah yang boleh menyebabkan berlakunya lubang benam.

Kempen kesedaran kepada masyarakat berkenaan tanda awal kejadian lubang benam dan tindakan perlu dibuat sekiranya mengesyaki berlaku lubang benam hendaklah dipergiatkan. Ini termasuk mengenal pasti kawasan terdedah kepada kejadian lubang benam dan melaporkannya kepada PBT.

Dengan mengambil langkah ini, risiko kejadian lubang benam dapat dikurangkan, sekali gus melindungi keselamatan masyarakat dan memastikan pembangunan mampan di Malaysia.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427