Perkasakan budaya negara, julang rakyat berjiwa merdeka

Estimate Reading Time: 2 minutes

Tidak sampai dua minggu lagi kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-67. Sebelum ini, Perdana Menteri sudah pun merayu dan mengingatkan untuk kita bersama-sama memeriahkan sambutan itu dengan turut mengibarkan bendera di premis masing-masing sama ada kediaman atau kompleks perniagaan.

Kalau dahulu ramai yang sanggup berkorban wang ringgit, harta benda, malah rantai dan gelang emas juga nyawa, kini kita cuma diminta mengibarkan bendera. Adakah ia satu permintaan yang sukar dilakukan? Lebih malang ada yang sudah mengibarkan bendera tetapi melakukannya secara terbalik walaupun kita sudah hampir tujuh dekad merdeka.

Saban tahun, tarikh 31 Ogos disambut sebagai Hari Kemerdekaan ataupun Kebangsaan. Namun, berapa orang antara kita yang merenung sejenak apakah sebenarnya tersirat di sebalik makna sambutan berkenaan? Benarkah kita sudah merdeka dan apa perlunya ia disambut setiap tahun? Apakah cukup dengan mengibar bendera sahaja maka merdekalah kita? Atau sebenarnya ia memerlukan lebih daripada itu? Bagaimana pula dengan simbol lain negara seperti budaya atau bahasa kebangsaan? Ia seharusnya ‘dikibarkan’ juga dijulang dan diperkasakan.

Budaya kebangsaan yang luhur berjati diri asal negara ini. Ini bukan isu perkauman tetapi ia adalah hakikat, sejarah dan kebenaran yang wajib diterima oleh semua rakyat negara ini. Di sini bumi dipijak, janganlah langit di sana pula dijunjung. Memang Malaysia penuh dengan pelbagai bangsa, kaum dan agama serta pastinya berbaur budaya yang berwarna-warni. Namun, hakikat yang tidak boleh dinafikan di mana-mana negara pun, tentunya ada satu budaya menjadi teras kepada semua itu berdasarkan hakikat sejarah dan asal usul. Tak mungkin semua budaya statusnya sama.

Tunjang budaya kebangsaan

Perlembagaan juga sudah mencatatkan mengenai bahasa rasmi dan agama Persekutuan. Malah, kita tidak pun menghalang bahasa atau agama lain untuk diamalkan. Namun, budaya kebangsaan perlu kepada tunjangnya yang mengakar di bumi ini. Bukannya seperti menggaul rojak atau pasembur di pinggan.

Dasar Kebudayaan Kebangsaan seperti digubal selepas 13 Mei 1969 iaitu pada 1971 berteraskan unsur Melayu dan Islam, wajib menjadi akar dan pohonnya. Sementara budaya lain yang ada di sini boleh saja diterima, disepadu, asalkan tidak bercanggah dengan nilai Melayu dan Islam.

Sejujurnya tidak ada alasan yang wajar untuk mengubah pancang budaya kebangsaan itu, melonggarkan lagi skrunya kecuali atas alasan tolak ansur yang tidak perlu. Perpaduan dan muhibah seharusnya atas landasan persefahaman dan bukannya tolak ansur kerana umumnya akan ada yang menolak dan ada yang diansur ansurkan. Bagaimanapun, jika sudah saling memahami, maka tiada pihak akan menuntut sesuatu yang tidak perlu daripada pihak lain.

Begitu juga dengan bahasa Melayu yang statusnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, dari pejabat kerajaan sehingga di kompleks mega perniagaan atau di taman perumahan elit. Bukan sekadar di pasar ikan atau tani sahaja. Merdekakah minda kita jika seluruh kota, berkibaran bendera asing, bandar raya kita masih berwajah London, Hong Kong dan Taiwan? Dari lapangan terbang, deretan kedai bebas cukai, tepian lebuh raya, iklan kecil dan gergasi, bahasa bukan kebangsaan menyapa kita.

Biasanya kita melancong untuk melihat sesuatu yang istimewa, menarik dan hal tiada di negara sendiri. Jadi, kita patut menyajikan pelancong dengan keunikan, keistimewaan yang tiada di negara mereka dan bukan menyajikan jenama kompleks, hotel, program, acara dan lain-lain seperti tersedia di negara asal.

Kibarlah budaya, bahasa, menu dan resipi negara ini yang beraneka warna dan cita rasa. Semoga dengan berkibarnya Jalur Gemilang, budaya dan bahasa Melayu, kemerdekaan negara kita tidak lagi terpasung. Barulah, kita benar-benar sudah merdeka.

Kamal Shukri Abdullah Sani,

Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427