Perdana Menteri tinjau Pusat Vaksinasi COVID-19 Kota Kinabalu

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU, 22 Mac  — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meninjau Pusat Vaksinasi COVID-19 Kota Kinabalu di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini.

Beliau tiba pada pukul 11 pagi dan meluangkan masa kira-kira setengah jam meninjau fasiliti tersebut dengan diiringi Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dan Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong.

Muhyiddin turut menyaksikan seorang petugas barisan hadapan iaitu pembantu pergigian Debby Marjezlina, 29, menerima dos pertama suntikan vaksinasi Pfizer-BioNTech yang dilaksanakan oleh jururawat Klinik Ibu dan Kanak-Kanak Kota Kinabalu Christelle Yvone Jitiol.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan penerima vaksin dan petugas terbabit.

Sepanjang lawatannya ke pusat itu, Perdana Menteri diberi penerangan oleh Dr Christina mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Sabah.

Dr Christina berkata Muhyiddin berpuas hati dengan usaha yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dalam membendung penularan COVID-19 di negeri ini.

“Beliau memberikan komentar yang baik, tetapi saya tidak pasti sama ada usaha kita telah memuaskan hati beliau, namun beliau tahu bahawa kita telah melakukan yang terbaik dengan sumber yang kita miliki,” kata Dr Christina ketika ditemui pemberita selepas lawatan Perdana Menteri itu.

Menurut Dr Christina, petugas barisan hadapan yang menerima vaksin hari ini merupakan kumpulan terakhir menerima dos pertama vaksin itu, sekali gus melengkapkan 42,117 petugas barisan hadapan di Sabah yang tersenarai untuk menerima dos pertama vaksin COVID-19.

— BERNAMA

 

 

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427