Percepat program latihan bagi penganggur, pakar beritahu Putrajaya

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Pakar berkaitan isu kemiskinan menggesa Putrajaya mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan program latihan untuk membantu kumpulan isi rumah B40 yang terjejas teruk akibat Covid-19.

Cadangan itu susulan laporan terbaru Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) yang mendedahkan, peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan miskin bandar Kuala Lumpur meningkat dari 7% pada September kepada 15% pada Disember tahun lalu.

Secara purata seorang daripada tiga orang dewasa dalam sebuah isi rumah dipercayai menganggur. Ia melibatkan 500 isi rumah di kawasan flat kos rendah sekitar Kuala Lumpur.

Pakar Sosiologi dan Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Denison Jayasooria berkata, kebanyakan mereka yang dibuang kerja terdiri daripada golongan B40.

“Ini kerana bidang pekerjaan mereka biasanya bukan di sektor kemahiran tinggi yang memungkinkan kumpulan ini untuk bekerja dari rumah,” katanya kepada FMT.

Jayasooria berkata, kerajaan perlu mempercepatkan tindakan untuk melatih semula kemahiran mereka yang kehilangan pekerjaan ketika pandemik yang tidak hanya memberi ancaman dari segi kesihatan dan keselamatan, tetapi turut memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi rakyat.

“Susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilanjutkan, saya berpendapat agensi berkaitan seharusnya turun padang untuk melihat sendiri realitinya ketika ini. Jalinkan kerjasama dengan komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata, bantuan wang tunai yang diberikan oleh kerajaan hanya bersifat “one off” dan ia tidak membantu rakyat untuk jangka masa panjang.

Apa diperlukan ialah perancangan teliti pasca Covid-19 dengan melibatkan penyertaan anggota masyarakat pelbagai peringkat termasuk kerajaan, NGO dan komuniti setempat.

Ini bagi menguatkan kembali ekonomi semua golongan sekali gus menjamin kelangsungan hidup ketika waktu mencabar ini.

“Ideanya adalah untuk melibatkan semua peringkat bersama bekerja menangani isu ini. Mengenal pasti apa diperlukan bagi setiap komuniti tertentu. Sama ada pinjaman mikro perniagaan, latihan kemahiran mahupun program penggantian pendapatan,” katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi Carmelo Ferlito berkata laporan Unicef memberikan indikasi kelemahan strategi menghadapi Covid-19, akhirnya memberi impak buruk baik dari segi kesihatan mahupun ekonomi.

“Sekarang kita mempunyai gambaran bagaimana kesannya dari dasar dilaksanakan kepada kehidupan rakyat, dan hasil dari data diterima, kes Covid 19 juga menunjukkan trend peningkatan,” katanya.

Beliau meminta supaya PKP tidak dilanjutkan untuk memulakan kembali sektor ekonomi negara.

“Ini satu-satunya cara untuk kita mengekalkan pekerjaan dan menjamin kehidupan. Untuk jangka masa panjang jaring keselamatan sosial hendaklah direka kembali dan diperkukuh,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan B40 diselamatkan oleh sektor penghantaran yang ketika ini dianggap antara yang terpenting terutama ketika PKP dilaksanakan.

Katanya, ia mungkin menjadi jaring keselamatan sosial bagi sebahagian daripada mereka. Namun, bagi sebahagian lagi terperangkap dalam pengangguran atau sedang berjuang bermati-matian memastikan sumber pendapatan mencukupi untuk menampung kehidupan keluarga.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427