Perbicaraan kes Rosmah: Hakim minta Najib tinggalkan mahkamah

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini meminta bekas perdana menteri Najib Razak meninggalkan mahkamah yang sedang mendengar perbicaraan berhubung kes rasuah melibatkan isterinya Rosmah Mansor.

Najib, 67, yang memakai kemeja merah berlengan pendek ketika itu sedang duduk di galeri awam di belakang Rosmah yang berada di tempat duduk tertuduh pada pukul 10.30 pagi semasa saksi pendakwaan memberikan keterangannya.

Kehadiran Najib disedari oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib yang kemudiannya memaklumkan kepada hakim Mohamed Zaini Mazlan.

“Semasa siasatan, MACC (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merekodkan keterangan Datuk Seri Najib. Ada kemungkinan dia boleh menjadi saksi, dan saya rasa tidak sesuai baginya untuk berada di sini,” kata Ahmad Akram.

Peguam Rosmah, Jagjit Singh kemudiannya memberitahu Najib hadir di mahkamah bagi menyokong isterinya.

“Namanya tidak ada dalam senarai saksi yang akan dipanggil oleh pihak pendakwa,” katanya.

Hakim Mohamed Zaini kemudiannya memberitahu Najib yang dia perlu meninggalkan mahkamah dengan berkata “sebagai langkah berwaspada, boleh saya minta anda meninggalkan mahkamah?”

Najib dilihat menganggukkan kepala sebelum berjalan meninggalkan mahkamah.

Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta RM187.5 juta dan 2 pertuduhan menerima rasuah RM6.5 juta daripada pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di 3 tempat berasingan iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 Sept, 2017. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427