Perang di Sudan melarat, sejuta penduduk jadi pelarian – PBB

Estimate Reading Time: 2 minutes

DARFUR: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan lebih sejuta penduduk Sudan melarikan diri ke negara jiran kerana kehabisan makanan selain ramai mati akibat kekurangan bekalan ubat selepas empat bulan perang.

Pertempuran antara tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera memusnahkan ibu kota Khartoum dan mencetuskan serangan didorong kumpulan etnik di Darfur, mengancam menjerumuskan Sudan dalam perang saudara yang berlarutan dan menjejaskan kestabilan rantau itu.

“Masa semakin suntuk untuk petani menanam tanaman yang akan memberi makan kepada mereka dan jiran mereka. Bekalan perubatan adalah terhad. Keadaan semakin tidak terkawal,” kata agensi PBB dalam satu kenyataan bersama.

Sementara itu, timbalan ketua Majlis Berdaulat, Malik Agar, berkata perang itu hanya akan berakhir di meja rundingan dan diharap pihak tentera dapat melembutkan pendirian serta peka terhadap kesusahan yang dialami rakyat.

Perang di Sudan setakat ini menyebabkan 1,017,449 penduduknya menyeberang ke negara jiran, yang turut bergelut dengan kesan konflik atau krisis ekonomi.

Sementara itu, mereka yang kehilangan tempat tinggal, namun kekal di Sudan dianggarkan berjumlah 3,433,025 orang, menurut angka mingguan terkini.

Pertempuran meletus sejak 15 April berikutan ketegangan yang dikaitkan dengan peralihan yang dirancang kepada pemerintahan awam, mendedahkan orang awam di ibu negara kepada pertempuran dan serangan ketenteraan setiap hari.

Berjuta-juta yang kekal di Khartoum dan bandar-bandar di wilayah Darfur dan Kordofan menjadi mangsa rompakan dan terputus perkhidmatan komunikasi dan air, sekali gus menyukarkan lagi kehidupan mereka.

Jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, Elizabeth Throssell, dalam taklimat di Geneva berkata mayat mereka yang terbunuh belum dikumpulkan, dikenal pasti atau dikebumikan, yang mana PBB menganggarkan lebih 4,000 terbunuh.

Laporan mengenai serangan seksual juga meningkat sebanyak 50 peratus, kata pegawai dana penduduk PBB, Laila Baker.

Sebahagian besar negara mengalami gangguan bekalan elektrik sejak Ahad, yang turut menjejaskan rangkaian komunikasi, menurut kenyataan pihak berkuasa elektrik negara.

Keadaan itu memerlukan pembentukan kerajaan sementara untuk menyediakan perkhidmatan dan membina semula infrastruktur.

Musim hujan, yang meningkatkan risiko penyakit bawaan air, turut memusnahkan kediaman sekitar 13,500 orang, mengikut anggaran PBB.

Dalam ucapannya, ketua tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan menuduh RSF berniat untuk membawa negara kembali ke era sebelum negara moden dan melakukan setiap jenayah yang boleh dibayangkan.

RSF pula menuduh tentera cuba merampas kuasa penuh di bawah arahan penyokong setia Omar al-Bashir, pemimpin autokratik yang digulingkan semasa kebangkitan rakyat pada 2019.

Usaha diketuai oleh Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS) untuk gencatan senjata dalam konflik semasa kini terhenti, dan agensi kemanusiaan bergelut untuk memberi bantuan kerana ketenteraman awam tergugat selain berlaku rompakan dan halangan birokrasi.

– REUTERS

– BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427