Perak catat 49 kes keganasan rumah tangga

Estimate Reading Time: < 1 minute

IPOH: Sebanyak 49 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Perak sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Assisten Komisioner (SAC), Anuar Othman, berkata 12 daripadanya membabitkan kes suami mendera isteri manakala 11 lagi kes gaduh membabitkan anak dan selebihnya adalah adik-beradik serta anggota keluarga yang lain.

“Kebanyakan kes suami mendera isteri dilakukan oleh individu berusia antara 31-40 tahun, kes gaduh hingga membabitkan anak pula dilakukan mereka yang berusia 31-50 tahun dan lain-lain kes berusia antara 20 dan 50 tahun.

“Setakat ini, 17 kes keganasan rumah tangga semasa PKP dituduh di mahkamah manakala selainnya masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Antara faktor yang menjadi punca kes dera ialah terbabit dalam penagihan dadah serta masalah kewangan sehingga mencetuskan pergaduhan dalam kalangan keluarga.

“Kebanyakan kes diterima melalui aduan yang dilaporkan sendiri oleh pengadu yang juga mangsa,” katanya.

Anuar menasihati mangsa yang menghadapi situasi keganasan rumah tangga supaya tidak takut membuat aduan dan jiran yang mempunyai maklumat juga boleh menghubungi balai polis terdekat atau talian Nur 15999.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Norashikin Wan Noordin, berkata setakat ini empat kes keganasan rumah tangga diterima oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak dengan dua daripadanya direkodkan di daerah Kinta, manakala masing-masing satu di Manjung dan Batang Padang.

Mengakui pelaksanaan PKP sedikit sebanyak memberi kesan kepada emosi seseorang, Wan Norashikin menasihati suami isteri lebih bersabar selain memanfaatkan bulan Ramadan untuk mengeratkan hubungan rumah tangga.

“Jika ada masalah selesaikan dengan baik, dan bagi sesiapa yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga jangan malu atau segan untuk laporkan kepada pihak berkuasa atau JKM,” katanya.

– BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427