Penyeludup dadah Perancis dipindah ke ‘Alcatraz Indonesia’ selepas bolos kali kedua

Estimate Reading Time: < 1 minute

JAKARTA: Seorang penyeludup dadah Perancis yang pernah berdepan hukuman mati di Indonesia akan dipindahkan ke sebuah penjara keselamatan tinggi digelar ‘Alcatraz’ susulan cubaan bolos kali kedua, kata seorang pegawai penjara hari ini.

Felix Dorfin, 35, dihukum mati selepas ditangkap tahun lalu di lapangan terbang Lombok namun hukuman itu ditukar kepada penjara 19 tahun pada Ogos.

Dorfin ditangkap ketika membawa beg bimbit diisi dadah seberat tiga kilogram termasuk ecstasy dan amphetamines namun menafikan memiliki bahan terlarang dalam bagasinya.

Lelaki Perancis itu menjadi tajuk muka depan Januari lalu apabila bolos dari pusat tahanan di Lombok dan menghabiskan dua minggu dalam buruan sebelum ditangkap.

Gambar fail diambil 29 April lalu menunjukkan banduan Perancis, Felix Dorfin (tengah) diiringi sebelum dihadapkan di mahkamah Mataram, Nusa Tenggara Barat di Lombok, Indonesia. -Foto Berita Harian
Seorang pegawai polis wanita ditahan kerana didakwa membantunya memboloskan diri sebagai pertukaran mendapatkan wang.

Hari ini, pegawai penjara di Lombok berkata, mereka mendapat tahu penyeludup itu cuba menggali lubang pada dinding sel penjaranya menggunakan keluli daripada longkang lama.

“Ia masih terlalu kecil untuknya melaluinya. Kini dia diletakkan dalam sel pengasingan kerana dianggap banduan berisiko tinggi,” kata ketua penjara di Mataram, Tri Saptono Sambudji.

Dorfin sudah dijadual dipindahkan ke penjara dikawal ketat Nusakambangan di luar pulau Jawa, di mana hukuman mati oleh skuad pembunuh dilaksanakan.

Tri Saptono berkata, selepas rancangan bolos itu, dia akan diletakkan dalam status keselamatan lebih ketat sebaik dipindahkan ke penjara pulau terpencil terbabit. -BHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427