Penyelesaian holistik hapus budaya buli, lahirkan perajurit sejati

Estimate Reading Time: 2 minutes

Luka rakyat negara ini masih belum sembuh terhadap kes pembunuhan tragik pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017 walaupun semua enam suspek sudah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman mati pada Julai lalu. Namun, kita kembali dikejutkan dengan insiden buli menggunakan elemen kekerasan serupa di institusi sama meskipun ia di bawah tanggungjawab Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Dalam satu kejadian pelajar tahun dua universiti itu ditekap seterika oleh pelajar tahun empat disusuli pula dengan laporan satu lagi insiden buli membabitkan pelatih tahun satu mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang apabila dipijak pelatih tahun tiga.

Kes itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selepas menerima menghadap Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sekali gus menitahkan Kementerian Pertahanan mengambil serius budaya buli yang sama sekali berbeza dengan latihan keras dalam ketenteraan bertujuan membina kekentalan mental dan jiwa tetapi dikendalikan jurulatih, bukan disebabkan tujuan peribadi atau melepaskan amarah.

Kebimbangan terhadap budaya buli itu menyebabkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mencadangkan ekosistem pendidikan UPNM diteliti semula, manakala pakar mengesyorkan model Akademi Pasukan Pertahanan Australia (ADFA) boleh ditimbangkan kerana mirip kepada UPNM yang melatih tiga perkhidmatan, iaitu Pegawai Kadet, Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan pelajar awam.

Bagaimanapun, kita mengingatkan apa-apa sahaja penyelesaian termasuk perubahan atau penambahbaikan model atau pengenalan langkah drastik seperti membezakan bilik dan aras bilik penginapan serta pengasingan ‘roll call’ antara pelajar senior dengan junior, pendekatan menyeluruh perlu diambil terutama secara kejiwaan dan kemanusiaan.

Ini kerana isu buli bukan sahaja berkait dengan ‘peluang’ dan ‘ruang’ yang memudahkan sesuatu kes buli, bahkan berkait rapat dengan masalah sosial dan psikologi seperti faktor keluarga, tekanan rakan sebaya, keinginan menguasai serta keupayaan empati rendah.

Oleh itu, sebarang penyelesaian dibuat oleh UPNM, akademi ketenteraan atau mana-mana institusi pendidikan termasuk universiti perlu membabitkan pakar dan ahli psikiatri serta psikologi profesional terutama berpengalaman dalam bidang pendidikan dan pembangunan tentera. Justeru, perubahan diperlukan bukan dalam konteks prasarana sahaja, bahkan kurikulum, disiplin ketenteraan, aktiviti di luar bidang akademik dan latihan ketenteraan yang perlu lebih holistik supaya dapat menanam nilai kemanusiaan seperti hormat dan empati.

Pada masa sama, kita mengingatkan perubahan budaya ini bukan hanya tanggungjawab MINDEF, KPT atau pengurusan universiti semata-mata, tetapi membabitkan semua pihak termasuk pelajar dan persatuan mahasiswa yang perlu menjadi ejen perubahan. Kita yakin dengan memperkukuh aspek kejiwaan, nilai kemanusiaan, serta pelaksanaan sistem disiplin berkesan, universiti dan akademi latihan ketenteraan menjadi institusi bukan sahaja melahirkan perajurit berani, bahkan berintegriti tinggi.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427