Penuntut universiti rugi RM38,000 ditipu Macau Scam

Estimate Reading Time: < 1 minute

ALOR SETAR: Seorang penuntut universiti awam kerugian RM38,000 akibat ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Pos Malaysia berhubung bungkusan mengandungi beberapa Mykad dan kad mesin juruwang automatik (ATM) didakwa dikirim mangsa dari Kedah ke Negeri Sembilan.

Terdahulu, penuntut perempuan berusia 22 tahun yang masih bujang dan berasal dari Baling itu dihubungi lelaki yang mendakwa bekerja sebagai pegawai Pos Malaysia Negeri Sembilan berhubung bungkusan berkenaan, 9 Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri, Superintendan Elias Omar, berkata mangsa menafikan mempunyai maklumat berkaitan bungkusan itu, namun diarahkan membuat laporan secara atas talian ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban.

“Panggilan itu kemudiannya disambung kepada seorang lagi lelaki yang mengaku pegawai polis berpangkat Inspektor.

“Seterusnya, suspek mendakwa, pemeriksaan melalui MyKad mangsa mendapati, mangsa kononnya terbabit dalam kes penggubahan wang haram,” katanya pada kenyataan hari ini.

Elias berkata, mangsa kemudiannya diarahkan memberikan nombor akaun miliknya serta butiran perbankan dalam talian kononnya untuk siasatan.

“Mangsa turut memberikan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) sejurus mesej diterima untuk pindahan wang RM27,000 secara berperingkat daripada akaun banknya ke akaun bank pihak ketiga,” katanya.

Elias berkata, suspek juga menyatakan waran tangkap sudah dikeluarkan dan bagi mengelakkan ditangkap, mangsa perlu membayar RM2,000 sehari selama enam hari.

Menurut beliau, mangsa kemudian membuat 11 pindahan dengan jumlah keseluruhan RM11,000 ke akaun Bank Islam 01014027644424 yang diberikan suspek.

“Keseluruhannya, mangsa kerugian RM38,000 dengan RM27,000 adalah wang simpanannya, manakala RM11,000 milik ibunya yang diambil tanpa pengetahuan wanita berkenaan,” katanya.

Mangsa kemudiannya melaporkan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Masyarakat diingatkan supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan maklumat yang diterima melalui http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau dapatkan maklumat berkaitan taktik jenayah komersil di http://www.facebook.com.my/CyberCrimeAlertRMP/,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427