Penulis buku Tamil “Peichi,” kesal karyanya mengenai masalah kaum India dianggap lucah, diharam KDN

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Penulis Tamil tempatan, M Navin, kesal dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri mengharamkan novelnya berjudul “Peichi” atas alasan mengandungi kandungan lucah.

Navin berkata novel 280 muka surat itu berdasarkan kejadian sebenar, khususnya kematian 30 orang dan penderitaan puluhan lain yang buta dan sebagainya kerana minum samsu haram di Lunas, Kedah pada 1981.

Beliau berkata tulisannya membicarakan masalah sosial yang nyata dalam masyarakat kaum India pada 1980-an dan 1990-an, khususnya pekerja ladang.

Navin kesal atas tindakan KDN mengharamkan buku itu kerana menganggap satu-satunya insiden rogol melibatkan watak wanita utama sebagai “kandungan lucah.”

“Saya menceritakan penghinaan terhadap seorang wanita yang dipandang rendah kerana kasta, warna kulit, dan statusnya dalam masyarakat. Bahagian ini dianggap sebagai ‘bahan lucah’.

Navin tidak sanggup melakukan “pengkhianatan terhadap penulisan” sekiranya hanya menceritakan insiden rogol itu dalam satu ayat, tanpa penghuraian.

“Peichi” adalah karya Tamil nukilan penulis tempatan yang pertama yang diharamkan.

Ketua pengarah KDN, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata buku itu bersama buku “Gay is OK! A Christian Perspective” diharamkan kerana kandungannya boleh memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan, dan kepentingan awam.

Tindakan itu diambil mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang melarangkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran, atau pemilikan hasil penerbitan di Malaysia.

Navin tidak dimaklumkan terlebih dahulu bukunya akan diharamkan atau diberi peluang untuk mempertahankan kandungannya.

“Saya tidak dikenakan sebarang siasatan. Penghujahan saya tidak didengari dan saya tidak menerima sebarang surat (daripada pihak berkuasa) setakat ini.”

Bagaimanapun, beliau berazam untuk terus menulis novel dan menegaskan “kreativiti seseorang tidak harus terikat dengan peraturan kerajaan.”

Navin berazam terus membantu mengembangkan kesusasteraan Tamil dalam negara kerana, menurutnya, industri penulisan ketika ini terlalu bergantung kepada karya komersial dan dihasilkan “untuk memenangi anugerah”.

“Kesusasteraan Tamil di Malaysia terlalu pasif dan tidak konsisten apabila berbanding dengan pembangunan kesusasteraan antarabangsa.

“Saya bertungkus lumus untuk mengubah persepsi terhadap kesusasteraan Tamil di Malaysia sejak 15 tahun lalu. Ia (pengharaman buku) adalah biasa bagi seseorang…jika dia mahu membuat perubahan,” kata beliau.- FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427