Penularan Arcturus, masyarakat jangan alpa

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Masyarakat diingatkan untuk tidak alpa dengan penularan COVID-19 ketika ini terutamanya terdapat kemunculan varian baharu yang dikenali sebagai XBB.1.16 atau Arcturus.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Management and Science University (MSU), Profesor Datuk Dr Rohaizat Yon, berkata Arcturus adalah campuran dua varian Omicron yang bermutasi.

“Berdasarkan maklumat pakar, subvarian ini tidak seganas varian Delta bagaimanapun, cara penularannya masih sama dengan kadar menularnya adalah 1.2 kali lebih daripada varian asal.

“Pesakit yang dijangkiti dengan varian ini akan menunjukkan gejala demam dan selsema ringan selain berisiko tinggi untuk mendapat ‘long covid’ manakala kanak-kanak yang dijangkiti berpotensi untuk mendapat sakit mata.

“Bagi golongan rentan pula, mereka berisiko menghadapi jangkitan paru-paru serius. Tiada prosedur operasi standard (SOP) baharu diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) namun masyarakat jangan alpa kerana risiko masih ada. Digalakkan pakai pelitup muka di tempat sesak dan sempit di mana penjarakan fizikal sukar untuk diamalkan,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan KKM mengesan enam lagi kes COVID-19 yang dijangkiti Arcturus iaitu empat di Selangor manakala dua lagi di Kuala Lumpur.

Pertambahan kes dengan varian baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti adalah sebanyak 12 kes, termasuk enam kes di Sarawak yang dilaporkan pada Mac lalu.

Mengulas lanjut, bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, masyarakat memang mempunyai pengetahuan akan risiko penularan COVID-19 serta keperluan untuk memakai pelitup muka.

“Namun mungkin ada yang alpa, lupa, berasa selesa atau leka dengan pemakaian pelitup muka berkenaan. Jadi saya sarankan kepada masyarakat untuk kekal patuh dengan SOP itu secara berterusan tanpa bosan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai peningkatan kes COVID-19 di negara ini, Dr Rohaizat berkata terdapat beberapa kemungkinan yang menyebabkannya berlaku dan salah satu daripadanya berkemungkinan disebabkan oleh penurunan imuniti vaksinasi di negara ini.

“Misalnya, penurunan imuniti selepas tempoh tertentu termasuk mereka yang sudah menerima vaksinasi melebihi enam bulan serta penurunan imuniti selepas dijangkiti COVID-19.

“Jadi saya sarankan ambillah dos penggalak vaksin kerana hanya 50 peratus penduduk di Malaysia yang menerima dos penggalak utama. Ini kerana mereka yang mengambil vaksin dapat mengurangkan keterukan gejala dialami serta kurang risiko untuk dimasukkan ke hospital,” katanya. – Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427