Penjawat awam belum berani lapor kes rasuah

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Tidak ramai dalam kalangan penjawat awam yang berani tampil melaporkan perbuatan rasuah dalam jabatan dan agensi masing-masing.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil, berkata data suruhanjaya itu menunjukkan antara 2012 hingga tahun lalu, hanya seramai 343 penjawat awam tampil memberi maklumat membabitkan kesalahan rasuah.

Beliau berkata, penjawat awam perlu mempunyai keberanian untuk mengatakan tidak kepada rasuah dalam organisasi.

“Kadang-kadang, dalam kes rasuah, bila berlaku dalam organisasi, ada pegawai kerajaan yang tidak berani tampil dengan mengatakan jika ia dilaporkan, mereka menabur pasir dalam periuk nasi orang.

“Tidak, (kerana) masalahnya, bila mereka terbabit, ia adalah kesalahan jenayah. Akhirnya ia memberi persepsi tidak baik, seolah-olah penjawat awam di negara ini adalah korup, sedangkan ada 1.6 juta penjawat awam di negara ini, yang melakukannya hanya beberapa peratus saja.

“Selain itu, kita juga memberi insentif kepada penjawat awam yang memaklumkan perbuatan rasuah. Malangnya, dari 2012 hingga tahun lalu, seramai 343 orang saja atau dari segi insentif RM640,400.15 saja yang kita beri dari segi ganjaran.

“Dari segi peratusan, dengan 1.6 juta penjawat awam, hanya 0.02 peratus yang berani tampil,” katanya ketika ditemubual stesen radio MACC.fm yang disiarkan secara langsung melalui laman sosial Facebook, pagi ini.

Pada masa sama, Shamshun berkata, penjawat awam yang melapor dan menjadi saksi bagi kes rasuah juga dilindungi peruntukan undang-undang seperti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009.

Beliau berkata, penjawat awam perlu mempunyai keberanian untuk mengatakan tidak terhadap perbuatan rasuah dan bersama-sama SPRM sebagai mana aspirasi Pelan Antirasuah Nasional supaya akhirnya Malaysia dikenali kerana integriti dan bukan kerana rasuah.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427