ALOR SETAR: Kes penipuan yang membabitkan Phone Scam semakin meningkat di negeri ini sehingga menyebabkan kerugian mencecah hampir RM5.2 juta.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Saleh, berkata ia membabitkan 125 kertas siasatan yang dibuka sejak Januari sehingga Mei lalu.
Beliau berkata, peningkatan itu berbeza berbanding tahun lalu yang hanya membabitkan 100 kertas siasatan dan kerugian sebanyak RM22 juta dalam tempoh sama.
“Peningkatan kes sebanyak 25 peratus dan jumlah kerugian dua kali ganda berbanding tahun lalu harus diambil langkah lebih efektif untuk menyedar serta mendedahkan kepada orang ramai, modus operandi terkini dilakukan sindiket penipuan sekali gus mencegah daripada menjadi mangsa penipuan.
“Sepanjang tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kedah mengambil pendekatan mengadakan pelbagai program pencegahan jenayah di daerah sekitar kontinjen Kedah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, program Jelajah Kempen Anti Scam JSUK Kedah dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Berhad dianjurkan hari ini sebagai satu langkah membanteras dan mencegah jenayah komersial, khususnya berkaitan kes penipuan membabitkan perbankan.
“Kadar kes jenayah komersial terutamanya kes penipuan yang semakin meningkat di negara ini amat membimbangkan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjawab panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali dan tidak menekan mana-mana pautan sama ada diterima melalui mesej, media sosial dan e-mel.
“Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mendedah dan berkongsi apa-apa data perbankan yang dimiliki dengan pihak ketiga serta tidak membenarkan mana-mana akaun bank di bawah milikan diakses dan diserahkan kepada individu lain,” katanya.
Fisol berkata, ini adalah bagi mengelakkan orang ramai daripada terus menjadi mangsa penipuan dan juga dapat mengelakkan diri daripada terbabit dengan keldai akaun.
– BH