Peningkatan kes Covid-19 asak ‘frontliners’ di Selangor

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Petugas barisan hadapan di Selangor diasak ke dinding dalam kerja keras mereka berjuang mengekang penularan wabak Covid-19, terutamanya ketika bilangan kes mencapai angka membimbangkan.

Semalam sahaja, 965 kes direkodkan, menjadikan lebih dari 1/3 daripada jumlah kes di negara ini dan petugas barisan hadapan ini dilaporkan berada di hujung tenaga mereka.

Seorang petugas kesihatan di Hospital Putrajaya yang tidak mahu dikenali berkata, beberapa rakan sekerjanya hampir pengsan dengan “jumlah pesakit yang masuk tanpa henti” walaupun selepas berbulan-bulan bekerja mengawal pandemik itu.

“Kami sangat letih dan bimbang,” katanya kepada FMT.

“Bimbangkan diri sendiri dan keluarga di rumah. Melihat orang lain pergi bercuti dan bebas bergerak seperti tiada apa-apa yang berlaku membuatkan kami lebih cemas.”

Beliau berkata, cabaran terbesar dalam pekerjaannya adalah berurusan dengan pesakit yang mendapat maklumat salah atau tidak bertanggungjawab.

“Ia berada pada tahap ekstrem. Ada sesetengah yang terlalu bimbang dan datang kerana menghidap selesema, tetapi percaya mereka menghidapi Covid-19.

“Ada pula yang tidak bercakap benar mengenai keberadaan mereka dan kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19. Ini menjadikan pekerjaan kami lebih sukar.”

Hampir 10,000 kes baharu dilaporkan di Selangor sejak dua minggu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah juga sebelum ini berkata, kapasiti di hospital awam dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah hampir penuh.

Dengan jumlah kes harian yang semakin meningkat, petugas kesihatan berkata, ramai rakan sekerja beliau sendiri yang mempunyai kontak dengan pesakit positif dan terpaksa dikuarantin di rumah.

Ia menyebabkan berkurangnya tenaga kerja di hospital.

Di Hospital Putrajaya, jumlah kakitangan untuk mengurus kemasukan pesakit masih mencukupi, sekali gus membolehkan kakitangan lain mengambil cuti yang sangat diperlukan.

Namun petugas yang perlu bekerja sepenuh masa merawat pesakit dengan memakai peralatan pelindungan diri (PPE) sepanjang syif lapan jam berdepan kesukaran untuk makan, minum, malah berehat. .

Katanya, walaupun berdepan keadaan yang sukar, petugas barisan hadapan perlu terus bekerja.

“Biar apapun perasaan kami, kami menanggungnya dalam diam dan akan kembali bekerja keesokan harinya.

“Kesihatan mental, lebih daripada sebelum ini, perlu ditangani dalam kalangan petugas kesihatan.

“Kami tidak tahu berapa lama lagi kami boleh bertahan. Fikirkan diri anda, tetapi lebih penting fikirkan ahli keluarga yang rentan di rumah. Perjuangan ini bukan hanya untuk anda seorang,” katanya.

Seorang lagi petugas kesihatan ldi Hospital Kuala Lumpur menjangka krisis Covid-19 di Lembah Klang tidak akan berakhir dalam masa terdekat.

Walaupun hospital itu bukan pusat yang dikhaskan untuk merawat kes Covid-19, beliau berkata, mereka menerima sejumlah besar pesakit bukan Covid-19 dari Hospital Sg Buloh, selain pesakit sedia ada.

“Kami menjangka peningkatan jumlah pesakit bukan Covid-19 kerana Hospital Sg Buloh sekarang hanya mengambil pesakit Covid-19.

“Buat masa ini keadaan masih terkawal, tetapi pesakit perlu menunggu lebih lama sedikit,” katanya, tetapi menambah bahawa pihak hospital kini membuat persiapan menerima jumlah pesakit lebih ramai dalam waktu terdekat.

Katanya, beliau dan rakan sekerja lain perlu hidup dengan norma baharu dan amalan kebersihan diri yang lebih ketat.

Namun, beliau kecewa atas ketidakpatuhan SOP dalam kalangan masyarakat, sekali gus berkata, mesej yang perlu disampaikan adalah jelas dan mudah, iaitu semua orang hanya perlu menjaga keselamatan diri.

-FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427