Peniaga, pekerja lengkap vaksinasi dibenarkan tawar ‘dine-in’ di Kelantan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KOTA BHARU: Hanya peniaga dan pekerja kedai makan yang lengkap dua dos vaksin dibenarkan beroperasi secara ‘dine-in’ di kedai makan di Kelantan.

Malah, remaja di bawah usia 17 tahun turut tidak dibenarkan makan di kedai, sebaliknya hanya boleh membeli secara bawa pulang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, berkata keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) hari ini.

“Kita tidak boleh bercanggah dengan keputusan dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), namun memutuskan hanya peniaga dan pekerja yang lengkap dos vaksin dibenarkan operasi makan di kedai.

“Bagi mereka yang belum lengkap dos (vaksin), premis itu hanya dibenarkan untuk bungkus. Untuk itu, kita akan mempercepatkan proses vaksinasi dan sudah menghantar senarai peniaga di Kelantan kepada Jabatan Kesihatan Negeri untuk tujuan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat khas JKKN yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Dr Izani berkata, pihaknya meminta golongan remaja berusia 17 tahun ke bawah supaya lebih bersabar untuk sementara waktu kerana golongan itu masih tidak dibenarkan makan di kedai.

“Kita bimbang dengan peningkatan kes yang mendadak sejak kebelakangan ini.

“Apa yang diputuskan oleh kerajaan negeri adalah sebagai usaha untuk melandaikan kes di Kelantan,” katanya.

-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427