Peniaga didenda RM10,000 rotan anak tak boleh jawab soalan Matematik

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga nasi lemak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari atas pertuduhan merotan anak tirinya berusia enam tahun sehingga menyebabkan kecederaan kerana gagal menjawab soalan Matematik.

Lelaki berusia 38 tahun itu dihadapkan di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin dan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia yang dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Wangsa Maju, di sini pada jam 6 pagi 23 Jun lalu, kemudian mengaku bersalah terhadap pertuduhan dan dikenakan hukuman denda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh berkelakuan baik dengan bon jaminan tanpa cagaran selama lima tahun serta menjalani khidmat kaunseling keibubapaan yang dianjurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Lelaki berkenaan turut diperintah melakukan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.

Mengikut fakta kes, Bahagian Pasukan Sekolah Klinik Kesihatan Kuala Lumpur ke sebuah sekolah rendah di sini untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dan pemberian imunisasi vaksin untuk murid Tahun Satu di sekolah itu pada 16 Jun lalu.

Jururawat bertugas dan pegawai perubatan membuat pemeriksaan ke atas mangsa dan menemui kesan lebam pada lengan. Pemeriksaan lebih terperinci mendapati terdapat kesan parut berbirat pada pergelangan tangan, belakang badan beserta lebam di bahagian kaki kanak-kanak itu.

Ketika ditanya doktor yang merawat mengenai kecederaannya, mangsa memaklumkan ia kerana dia selalu dirotan oleh ayahnya sebelum doktor menghubungi guru kelas kanak-kanak itu dan mencadangkan pihak sekolah melaporkan kepada JKM melalui Talian Kasih.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan ibu bapa lain supaya tidak melakukan perbuatan sama.

“Gelaran ayah bukan lesen untuk memukul sedemikian bagi tujuan mendisiplinkan mangsa hanya kerana kesalahan Matematik, mangsa tidak sepatutnya dipukul seperti itu. Dia memerlukan kasih sayang seorang ayah kerana ayah kandung dan ibunya bercerai,” katanya.

Peguam, Arik Zakri Abdul Kadir yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda rendah kerana anak guamnya menanggung keluarga dan isteri yang sedang mengandung empat bulan, selain memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427