MANCHESTER: Erik ten Hag mendapat sokongan padu ahli lembaga pengarah Manchester United walaupun mengharungi permulaan musim yang hambar.
United sekali lagi tewas di tangan seteru tetangga, Manchester City – kekalahan liga kelima mereka dalam 10 aksi awal musim ini.
Ia adalah kali pertama sejak tahun 1986 United tewas lima kali dalam 10 perlawanan pertama liga.
United tewas 3-0 di Old Trafford pada Ahad lalu namun kedudukan pengendali dari Belanda itu masih selamat selepas mendapat sokongan pengurusan kelab.
Ketua eksekutif United, Richard Arnold dilaporkan berkata, United kini di landasan tepat walaupun ketinggalan lapan mata di belakang kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris dan bakal tersingkir awal daripada saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Arnold yang berada di Old Trafford ketika aksi tetangga Manchester itu, bakal melepaskan jawatannya sekiranya tawaran Jim Ratcliffe untuk membeli saham minoriti kelab diterima.
Ten Hag, yang mempunyai kontrak sehingga tahun 2025, menerima tekanan hebat selepas permulaan hambar musim ini.
Keputusannya untuk memasukkan penyerang, Rasmus Hojlund pada minit ke-73 dicemuh penyokong sendiri, manakala peminat turut mempersoalkan percaturannya apabila tidak meletakkan Raphael Varane dan Sergio Reguilon dalam kesebelasan utama.
Kenyataan Ten Hag yang mengatakan mustahil untuk United bermain seperti skuad Ajax kendaliannya juga mengejutkan peminat.
“Kami tidak akan bermain seperti Ajax di sini. Saya mempunyai pemain berbeza, itu bukan sebab saya datang ke sini.
“Barisan pemain yang ada menentukan bagaimana cara anda bermain. Sebab itu kami bermain di sini dengan cara berbeza seperti saya terapkan di Ajax. Saya tidak boleh bermain dengan cara sama di sini.
“Ia bukan DNA Manchester United sama sekali. Bola sepak di Ajax sangat tipikal, di sini kami bermain dengan lebih mudah. Kami mempunyai pemain untuk melakukannya, terutama di bahagian depan,” kata Ten Hag.
Ten Hag membelanjakan hampir 400 juta pound (RM2.32 bilion) untuk membeli pemain sejak dia tiba di Old Trafford tetapi dua daripada pembelian terbesarnya – Mason Mount dan Antony – tidak diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi tetangga itu.
– AGENSI
– BeritaHarian