Pengurus rugi RM238,000 urusan beli kayu balak

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Seorang pengurus syarikat kerugian RM238,000 apabila ditipu dua lelaki dalam urusan jual beli kayu balak.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata kejadian bermula apabila mangsa yang berusia 38 tahun yang juga kontraktor pembalakan menemui dua lelaki yang baru dikenalinya pada 21 Ogos 2022.

Dalam pertemuan itu, mereka berbincang mengenai urusan jual beli kayu balak dan suspek mendakwa kononnya sudah mendapat kelulusan daripada pihak Felcra Berhad untuk mengeluarkan saki baki kayu balak untuk dijual.

Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu bersetuju membeli kayu balak berkenaan dengan harga RM450,000.

“Mangsa kemudian membuat surat perjanjian dengan suspek terbabit di sebuah pejabat guaman.

“Mangsa juga pergi ke kawasan pembalakan berkenaan dan melihat kawasan terbabit sehingga membuatkan mangsa lebih yakin dengan tawaran itu,” katanya.

Azli berkata, mangsa kemudian membuat pembayaran secara berperingkat sebanyak RM238,000 kepada dua lelaki terbabit melalui pemindahan wang kedua akaun seperti yang diarahkan oleh suspek.

Mangsa dihubungi Pejabat Hutan Daerah Kuala Terengganu Utara pada tahun lalu yang memaklumkan bahawa pengesahan dengan pihak Felcra Berhad mendapati dokumen yang ditunjukkan oleh kedua lelaki itu adalah dokumen palsu.

Katanya, pihak Felcra Berhad juga tidak pernah membenarkan projek konsesi balak itu kepada dua lelaki itu.

“Mangsa kemudian berhubung dengan dua lelaki terbabit untuk menuntut pembayaran balik semula wang namun suspek enggan.

“Mangsa yang merasakan dirinya sudah ditipu membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Azli turut menasihatkan masyarakat supaya sentiasa peka dan berwaspada selain membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427