Pengundi Tanjung Piai tidak sepatutnya terpengaruh dengan berita palsu

Estimate Reading Time: < 1 minute

PONTIAN- Pengundi Tanjung Piai tidak seharusnya terpengaruh dengan berita palsu tetapi sebaliknya memberikan sepenuh keyakinan kepada calon Pakatan Harapan Karmaine Sardini dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 Nov.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, dengan menjadi lebih celik media, pengundi tidak akan dengan mudah terpengaruh dengan berita palsu, terutamanya ketika kempen pilihan raya kecil.

“Ia bergantung sama ada penduduk Tanjung Piai boleh menjadi lebih celik media dan tidak membenarkan berita palsu mempengaruhi keputusan (pilihan raya kecil),” katanya kepada pemberita selepas ‘sesi kopitiam’ di Kampung Penerok, di sini malam ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan sama ada penyebaran berita palsu akan menjejaskan peluang untuk Pakatan Harapan memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mengakui beliau dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga telah menjadi mangsa berita palsu.

“Kita kini berada dalam masa di mana terdapatnya banyak berita palsu. (Sebagai contoh) Di kawasan Melayu (ada orang) mengatakan Dr Mahathir adalah boneka DAP dan di kawasan Cina, mereka katakan Lim Kit Siang adalah boneka Dr Mahathir. Kami berdua bukan boneka.

“Tetapi sebenarnya ialah kami berdua sedang memainkan peranan masing-masing demi negara ini,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai ditetapkan 16 Nov ini, susulan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang mewakili PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Karmaine berdepan pertandingan enam penjuru menentang BN, Gerakan, Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) dan dua calon bebas.- BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427