PETALING JAYA, 9 Nov 2022 (The Capital Post): Minggu pertama kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan calon dan parti terus melakukan pecutan meraih undi. Kita dihadapkan tawaran dirangka bagi menarik sokongan pengundi untuk membuat pilihan dirasakan tepat.
Malah, gabungan parti juga sudah mengemukakan manifesto dan tawaran masing-masing seperti Barisan Nasional (BN) dengan Pelan Amal dan Usaha (PADU); Perikatan Nasional (PN) dengan Prihatin, Bersih dan Stabil (PN Best) dan Pakatan Harapan dengan Tawaran Harapan.
Sudah tentu kempen dan manifesto terbabit memberikan tumpuan utama kepada anak muda dan pengundi kali pertama yang menjadi majoriti dalam penambahan
pengundi baharu yang dianggarkan meningkat
lebih 6 juta berbanding PRU14.
Pencalonan anak muda juga semakin bertambah bagi setiap parti politik, malah penyertaan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) buat pertama kali dalam PRU merancakkan kedinamikan persaingan politik.
Seramai 248 daripada 949 calon Parlimen adalah dalam kalangan berumur 21 hingga 39 tahun, manakala bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Perlis dan Perak serta DUN Bugaya di Sabah, 93 daripada 443 calon adalah daripada kelompok usia terbabit.
Parti politik terpaksa mengorbankan pemimpin veteran untuk memberi laluan kepada calon baharu mewakili anak muda walaupun penyandang berkemampuan menang di kerusi berkenaan. Ia menjadi strategi ampuh untuk menyampaikan naratif betapa parti berkenaan serius memberi peluang kepada anak muda bukan sahaja di kawasan terbabit, bahkan seluruh negara.
Beberapa kawasan Parlimen seperti di Ketereh, Bachok, Merbok, Tampin dan Temerloh menyaksikan calon muka baharu dalam kalangan anak muda selari dengan kekuatan golongan itu sebagai agen transformasi masyarakat dan lambang kekuatan sokongan akar umbi masa kini.
Peluang calon muda menyerlah
Menyedari calon antara faktor utama bakal menjadi pertimbangan anak muda, rejuvenasi parti politik memerlukan satu tekad politik berani walaupun ia bakal mendapat tentangan dari dalam dan tokoh yang bakal diketepikan.
Selain membuka ruang kepada calon muda untuk menarik sokongan pengundi khususnya generasi mereka, parti politik juga perlu menyelami apa yang anak muda inginkan daripada gabungan parti yang bakal menerajui negara selepas pilihan raya ini.
Tawaran pernah ditawarkan pada PRU pada 2018 seperti Jaminan Anak Muda (JOM) oleh BN dan Tawaran Anak Muda oleh PH mungkin masih lagi relevan sekiranya dinilai berdasarkan pelaksanaannya terganggu akibat ketidakstabilan politik, ruang terhad dari segi tempoh pemerintahan masing-masing serta pandemik COVID-19 yang melanda dunia.
Taruhan sebegini sebenarnya perlu dikekalkan dalam PRU15 tetapi sudah tentu dengan penambahbaikan supaya setiap segmentasi anak muda menerima faedah diberikan.
Justeru, tawaran sebegini menjadi asas penting dalam pembinaan manifesto anak muda oleh parti mengambil bahagian dalam PRU15 ini. Dalam PRU14 misalnya, isu pendidikan tinggi menjadi tumpuan utama dengan saranan agenda memfokuskan isu Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dengan parti politik mengemukakan tawaran mengikut laras dan nada permintaan anak muda.
Dengan meneliti segmentasi pengundi pada jalur usia ini, ada beberapa asas perlu diberikan pertimbangan termasuk soal jumlah pengundi muda (umur 18-25 tahun) yang bertambah hingga mencecah hampir 6.1 juta.
Jumlah ini dikatakan bakal mewakili segmen pengundi yang sifatnya atas pagar, rasional dan membuat keputusan mengikut pertimbangan isu semasa. Soal pembinaan legasi kepemimpinan politik turut menjadi tumpuan kerana kelompok ini bakal mewarisinya, begitu juga budaya politik dan cara gaya tadbir urus negara.
Fokus kepada usaha pembangunan bakat juga harus diseiringkan dalam memastikan negara tidak ketandusan pimpinan muda. Dalam PRU15 ini, tumpuan diberikan kepada calon mewakili anak muda mempersembahkan keseriusan parti politik mengetengahkan calon muda berwibawa dimiliki mereka.
Mampu ubah suasana politik
Bagaimanapun, harus diingat bahawa kegagalan menunaikan janji walau apapun alasan bakal menjadi mimpi ngeri kepada parti politik dalam menghadapi anak muda mempunyai pelbagai paradigma pemikiran dan idealisme.
Tidak hairanlah, kebanyakan penganalisis politik masih lagi tidak dapat membaca sokongan terbanyak anak muda. Mungkin ramai mendapat pengajaran hasil keputusan pilihan raya lalu bagaimana undi anak muda mempunyai suara mampu mengubah suasana politik Malaysia.
Ini diakui Pemuda UMNO sejurus selepas kegagalan BN mempertahankan kuasa pada peringkat Persekutuan pada 2081 adalah antaranya berpunca kegagalan mendapatkan sokongan dan undi anak muda.
Lantaran itu, sepanjang tempoh kempen ini, sebarang tawaran dan janji kepada anak muda secara khusus serta pengundi keseluruhan secara umum perlu dipastikan sebagai mampu dilaksanakan,
bukan hanya janji kosong apabila mendapat kuasa nanti.
Lebih tepat, setiap janji, tawaran atau manifesto dikemukakan perlu dilaksanakan parti bakal memperoleh mandat, sekali gus tidak lagi pesimis
terhadap kuasa anak muda khususnya dalam PRU15 ini.
Hakikatnya, kita perlu memandang lebih jauh lagi kerana pilihan raya ini bukan sekadar ingin melihat penyertaan anak muda dalam proses demokrasi, tetapi menanam sifat tanggungjawab dan kesediaan mereka untuk turut sama dalam proses pembuatan keputusan serta pentadbiran negara.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM)
-BH
(The Capital Post)