‘Pengundi muda mahu suara didengari kerajaan’

Estimate Reading Time: < 1 minute

PADANG SERAI, 1 Dec 2022 (The Capital Post): Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai, Datuk C Sivaraj berharap pengundi muda di kawasan itu membuat pilihan tepat bagi membolehkan suara dan aspirasi mereka diketengahkan dalam kerajaan.

Beliau berkata, berdasarkan pembabitannya dengan kumpulan itu, golongan muda mahu suara mereka didengari dalam membentuk keputusan dan dasar kerajaan.

“Saya percaya undi golongan muda berusia 18 tahun ini penting kerana pemilihan yang mereka buat, amat penting bagi membentuk kerajaan dan negara ini masa depan.

“Mereka berharap kerajaan memberi perhatian kepada suara mereka dalam membuat keputusan dan dasar yang menyentuh masa depan mereka kelak.

“Mereka tidak mengharapkan bantuan, sebaliknya mahu suara didengari dan saya akan membawa suara mereka ini,” katanya ketika ditemui berkempen di luar perkarangan Kolej Tingkatan Enam di Taman Mahsuri di sini, petang semalam.

Sivaraj berkata, pengundi muda perlu membuat kajian dan penelitian untuk memilih calon dan bukan hanya bergantung kepada emosi.

Justeru, katanya, selain kempen secara bersemuka, beliau juga mendekati pengundi kali pertama dan pengundi muda melalui panggilan telefon dan media sosial.

“Kami menggalakkan pengundi muda termasuk pengundi luar kembali menggunakan hak demokrasi mereka.

“Pemilihan ideologi mereka dalam proses pengundian sangat penting kerana ia akan memberi kesan kepada masa depan mereka dan negara,” katanya.

Selain Sivaraj, Parlimen Padang Serai yang menyaksikan pertembungan enam penjuru turut membabitkan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak, Datuk Azman Nasrudin (PN), Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Mohd Bakri Hashim (WARISAN) dan Sreanandha Rao (Bebas).

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai ditangguhkan selepas calon PH yang juga penyandang, M Karupaiya meninggal dunia pada 16 November lalu, dua hari selepas dimasukkan ke Hospital Kulim akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memutuskan penangguhan PRU15 di kerusi terbabit kemudian menetapkan 7 Disember ini sebagai tarikh pengundian.

-BH

(The Capital Post)

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427