Penguatkuasaan ketat bendung pemandu ambil dadah semasa memandu – Polis

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 15 Mac — Walaupun statistik kes pemandu kenderaan berat memandu di bawah pengaruh dadah masih rendah setakat ini, namun penguatkuasaan ketat dan berterusan perlu bagi mengekang gejala itu demi melindungi nyawa pengguna jalan raya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata, undang-undang sedia ada untuk membendung pemandu kenderaan berat mengambil dadah ketika memandu untuk menghilangkan rasa mengantuk, juga sudah memadai.

“Berdasarkan statistik laporan tahun lepas dan tahun sebelumnya (2019) tidak banyak pemandu yang terlibat dengan dadah dan terlepas daripada ditahan polis.

“Walaupun kes tahunannya tidak banyak, namun ia tetap berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai kemalangan pemandu treler yang melanggar perancah besi pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Desa Tun Razak, di sini, pada 3 Mac lepas didapati positif dadah.

Zulkefly berkata, setiap pemohon yang membuat permohonan Lesen Vokasional perlu menjalani ujian saringan air kencing, sebelum diterima bekerja bagi memastikan dia bebas daripada pengaruh dadah.

Beliau berkata, polis dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik juga, membuat ujian saringan air kencing terhadap pemandu pengangkutan awam jarak jauh, ketika musim perayaan sebagai langkah berjaga-jaga, sebelum mereka dibenarkan bekerja dan membawa penumpang.

“(Selain itu), hukuman terhadap pemandu di bawah pengaruh dadah sudah cukup berat, setelah akta dipinda tahun lepas dengan denda minimum sebanyak RM50,000, penjara lima tahun dan lesen memandu dibatalkan sehingga 10 tahun, membabitkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan 2020) dengan hukuman penjara dicadangkan sebagai hukuman mandatori,” katanya.

Beliau berkata majikan kepada pemandu GDL juga perlu juga bertanggungjawab dengan menghantar calon ke klinik panel untuk membuat ujian saringan air kencing, sebelum memulakan tugas sebagai pemandu pengangkutan awam.

“Jika didapati mereka terlibat dengan penggunaan dadah (selepas ujian saringan air kencing dilakukan),  majikan perlu melaporkan perkara itu kepada polis,” katanya.

Zulkefly juga menasihati majikan agar berwaspada ketika mengambil pekerja dan membawa mereka ke klinik bagi proses saringan air kencing, untuk memastikan pemandu mereka bebas pengaruh dadah.

— BERNAMA

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427