PETALING JAYA: Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Bhd (LBS), Tan Sri Ir Lim Hock San, baru baru ini dianugerahkan gelaran profesional kejuruteraan ‘Ir’, iaitu kelayakan tertinggi bagi profesion kejuruteraan di Malaysia.
Penerima kelayakan ini perlu berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia dan mendapat lesen kejuruteraan setelah memenuhi semua syarat-syarat ketat yang ditetapkan.
Menurut Presiden Lembaga Jurutera Malaysia, Datuk Ir Ahmad Redza Ghulam Rasool, sebagai badan berkanun yang mendaftar dan mengawal selia profesion kejuruteraan di Malaysia, mereka telah mengesah dan meluluskan Hock San sebagai seorang jurutera profesional yang memegang gelaran ‘Ir’ atas pencapaian dan kecekapan luar biasa beliau dalam bidang kejuruteraan.
“Dengan pengalaman luasnya dan sumbangan yang tidak ternilai dalam industri kejuruteraan dan pembinaan, beliau telah secara langsung membantu memajukan sektor pembangunan di Malaysia. Tan Sri adalah contoh pemimpin cemerlang yang telah membimbing organisasinya ke arah kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Institut Jurutera Malaysia (IEM) turut mengucapkan tahniah kepada Hock San dan menyatakan bahawa tidak ada sebarang keraguan mengenai kelayakan beliau untuk menerima pengiktirafan ini.
Pencapaian cemerlang dan sumbangan beliau dalam bidang kejuruteraan melambangkan tanda aras yang tertinggi, kata bekas Presiden IEM, Ir Lai Kong Phooi.
“Dengan berbesar hati, saya secara peribadi mengakui peranan Lim (Hock San) sebagai seorang figura inspirasi bagi generasi muda yang patut dijadikan teladan dan dicontohi.
“Sebagai bekas presiden IEM, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Lim. Beliau berhak dan berkelayakan untuk menerima pengiktirafan kejuruteraan profesional ini,” katanya.
“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Tan Sri dalam semua inisiatif kejuruteraannya,” katanya.
Hock San, 65, memperoleh Ijazah Kejuruteraan Awam Kelas Pertama dari University of Wales, United Kingdom, pada tahun 1982.
Setelah kembali ke Malaysia, beliau menyertai perniagaan keluarga, yang pada masa itu menjalankan perniagaan pembinaan termasuk pengangkutan.
Dalam tempoh hanya dua dekad, syarikat ini berkembang maju dalam pembangunan hartanah, insurans, dan pelancongan.
Pada 6 Disember 2001, secara rasminya Hock San telah dilantik sebagai Pengarah Urusan LBS.
Beliau telah memimpin LBS Group untuk menjadi salah satu pemain utama dalam sektor pembangunan hartanah di Malaysia, hasil keusahawanan, pengurusan, dan kemahiran teknikal yang jitu.
Bermula 1 Mac 2021, Hock San telah dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif LBS menggantikan Datuk Seri Lim Bock Seng yang bersara.
Beliau juga memegang jawatan pengarah dalam beberapa anak syarikat Kumpulan LBS, dan menjadi Timbalan Pengerusi Eksekutif MGB Bhd.
Hock San telah menerima penghargaan cemerlang sejak tahun 1982, di mana beliau memenangi hadiah kedua dalam Pertandingan Rekabentuk Bahagian Keluli Hampa British Steel Corporation.
Tahun ini, LBS telah menetapkan sasaran jualan sebanyak RM2 bilion untuk tahun kewangan 2023.
Pada tahun lalu, LBS mencatatkan jualan hartanah sebanyak RM2.003 bilion, meningkat sebanyak 25 peratus melebihi sasaran jualan RM1.6 bilion.
Pada taklimat media pada Januari lalu, Hock San menyatakan bahawa jualan hartanah sebanyak RM2.003 bilion pada tahun 2022 dipacu daripada pembangunan yang terletak di lokasi strategik dengan julat harga yang berpatutan yang memenuhi permintaan orang ramai.
Selain itu, pada tahun 2022, LBS berjaya menyerahkan pemilikan kosong (VP) 2,957 unit bernilai RM1.27 bilion.
Pada tahun ini, LBS bercadang untuk melancarkan 12 projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.09 bilion dan 4,021 unit terkumpul di semua kategori hartanah dan pembangunan meliputi Lembah Klang, Johor, Pahang, dan Perak.
Projek pembangunan LBS pada tahun ini dijangka mencapai 7,209 unit di semua jenis hartanah.
-BH