Penganggur miliki 2 parang dalam kereta dipenjara 5 tahun

Estimate Reading Time: < 1 minute

Kuala Lumpur: Seorang penganggur dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memiliki dua parang dalam kereta sewa yang dipandunya, dua tahun lalu.

Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Hafizul Khan Mohd Ayeb Khan, 24, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan hari ini.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 8 Disember 2019.

Muhammad Hafizul Khan dituduh memiliki parang berhulu berukuran 13.5 sentimeter yang dijumpai di belakang papan pemuka kereta yang dipandunya itu di Lebuhraya Besraya berhadapan dengan Pangsapuri Raya Permai menghala ke pusat bandar, Cheras di sini pada 2.30 pagi, 8 Disember 2019.

Dia dihukum mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira keseriusan kes kerana membabitkan senjata berbahaya.

Peguam C.R.Chua yang mewakili Muhammad Hafizul Khan memohon hukuman minimum kerana anak guamnya sudah insaf.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian seorang anggota polis menahan kereta yang dinaiki Muhammad Hafizul Khan dan hasil pemeriksaan menjumpai dua bilah parang di belakang papan pemuka kereta tersebut.-METRO

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427