Penganggur didakwa rogol anak

Estimate Reading Time: < 1 minute

MELAKA: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini atas pertuduhan merogol anak sulungnya berusia 18 tahun, Mei lalu.

Tertuduh berusia 39 tahun itu mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan terhadap mangsa yang juga anak sulung lima beradik yang ketika kejadian berusia 18 tahun dua bulan.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 377B, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii dengan mangsa yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta sebat.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Jasin, pada 23 Mei 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nabilalif Mohd Rosli pada awalnya tidak menawarkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 diberikan selain melarang tertuduh mengganggu dan berkomunikasi dengan mangsa serta isterinya.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana dia menghidap penyakit gout serta hanya bergantung bantuan bulanan kerajaan serta pendapatan isteri yang bekerja sebagai tukang cuci masjid.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 bagi kedua-dua pertuduhan selain menetapkan 26 Julai depan tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427