KUALA LUMPUR: Peserta usahawan mesin layan diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah komponen Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) dijangka bebas kemiskinan dalam tempoh dua tahun.
Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli, berkata sasaran itu termasuk menambah pendapatan peserta sehingga RM2,000 sebulan.
“Kita berharap setelah mereka berjaya meraih RM2,000 sebulan mereka beralih kepada modal perniagaan lain seperti membuka warung sendiri dan memberi peluang kepada pemohon lain menjana pendapatan,” katanya ketika melancarkan mesin layan diri IPR di lobi stesen KL Sentral disini, hari ini.
Rafizi berkata, peserta diberikan kemudahan sewa percuma selama dua tahun untuk mereka memasarkan produk makanan siap masak kepada pelanggan.
Ditanya langkah kerajaan jika lokasi mesin layan diri didapati tidak mencapai sasaran jualan, Rafizi berkata pihaknya sentiasa memantau aktiviti jualan dan trafik pelanggan di setiap lokasi.
“Kelebihan program ini ialah kita bukan sahaja memberi kemudahan, malah kerajaan turut mendidik usahawan mengkaji pergerakan pelanggan dan membuat jangkaan bila mereka perlu menambah dan mengurangkan produk jualan,” katanya.
Beliau berkata, dengan cara ini secara tidak langsung usahawan dapat mempelajari aspek lain dalam perniagaan.
“Aset ini milik kerajaan, tanggungjawab kerajaan menyediakan segala keperluan. Mereka (usahawan) hanya perlu menyediakan modal pusingan untuk produk makanan dimasak,” katanya.
Rafizi berkata, beban kos ini dikongsi bersama kerajaan dan lebih 1,000 rakan strategik yang melaksanakan program ini.
“Kita bukan sahaja tidak mengenakan sewa, malah cas elektrik juga ditanggung pemilik tapak atau rakan strategik, usahawan hanya mengeluarkan modal pusingan, ini juga dapat memastikan harga jualan lebih murah antara RM1 hingga RM5,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan lokasi seperti itu mengambil kira ia sesuai untuk meletakkan makanan pada harga rendah dan dapat memberi impak kepada orang ramai sekitarnya.
Mac lalu, Rafizi melancarkan program itu dan kerajaan menyasarkan mesin berkenaan dapat diperluas kepada 5,000 penerima di bawah inisiatif INSAN pada tahun ini.
Menerusi insiiatif INSAN, penerima akan diberikan mesin layan diri di tempat yang telah dipilih dan akan menerima sewaan bulanan serta dibayar terus kepada penyedia mesin layan diri antara RM600 hingga RM800 bergantung kepada jenis mesin.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Puncak Alam dan stesen LRT Ampang Cempaka, lokasi perintis inisiatif ini serta mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan. – Berita Harian