WASHINGTON- Pendengaran awam mengenai pemecatan Presiden Donald Trump dijangka diadakan bulan ini, kata Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi, lapor agensi berita Xinhua.
“Saya beranggapan akan ada pendengaran awam pada November ,” katanya semasa diwawancara Bloomberg.
Menurutnya, beliau tidak pasti mengenai “jadual pendengaran itu” dan “belum membuat sebarang keputusan andai benar presiden akan dipecat.”
Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Dewan yang dikuasai Demokrat meluluskan resolusi, antara lain menetapkan prosedur untuk pendengaran awam dan pelepasan transkrip pendengaran.
Pelosi memulakan siasatan pemecatan Trump pada akhir September selepas memperolehi maklumat mengenai interaksi Rumah Putih dengan Ukraine, termasuk panggilan telefon antara Trump dan rakan sejawatnya dari Ukraine, Volodymyr Zelensky, pada 25 Julai.
Trump didakwa menyalahguna kuasa dengan menggunakan pegawai tentera untuk menekan Zelensky agar menyiasat bekas Naib Presiden AS Joe Biden, pencabar utamanya dalam pilihan raya presiden 2020.
Trump menafikan beliau telah melakukan sebarang salah laku.
Rumah Putih juga menolak dakwaan itu dan tidak akan bekerjasama dengan pihak penyiasat.
Semasa temu bual dengan Fox News pada Jumaat, setiausaha akhbar Rumah Putih Stephanie Grisham berkata mereka sudah “bersedia” untuk berdepan kes itu.
“Kami sudah bersiap sedia jika ada pemecatan berlaku,” kata Grisham.
“Nancy Pelosi telah menyatakan dengan jelas bahawa Demokrat akan mengundi.”
Presiden akan dipecat jika Dewan meluluskan satu daripada artikel pemecatan yang disaran Jawatankuasa Kehakiman dengan majoriti mudah.
Tetapi pemecatan hanya boleh berlaku di Senat dan memerlukan sekurangnya dua pertiga undi atau 67 senator menyokong. Pada masa ini, Senat terdiri 53 Republikan, 45 Demokrat dan dua anggota bebas.- BERNAMA