PUTRAJAYA, 20 Nov — Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) melanjutkan tempoh pendaftaran SSM BizTrust secara percuma sehingga 31 Dis 2021 bagi mendokong usaha memulihkan dan menggiatkan semula ekonomi rakyat dan negara, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
“Peniaga dalam talian diseru menyahut peluang ini dengan mendaftar SSM BizTrust di portal https://biztrust.ssm.com.my, 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu,” kata Nanta dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut laporan media sebelum ini, pendaftaran SSM BizTrust secara percuma akan berakhir pada 30 Dis tahun ini.
SSM BizTrust adalah simbol pengiktirafan dan piawaian kualiti yang ditawarkan kepada sesebuah entiti perniagaan yang dikawal selia oleh SSM dengan syarat entiti tersebut telah mematuhi prinsip dan kriteria yang telah ditetapkan.
Peniaga dalam talian yang berjaya memperoleh pensijilan SSM BizTrust akan memaparkan logo SSM BizTrust pada laman sesawang atau akaun media sosial atau laman blog perniagaan mereka yang terdaftar.
Nanta berkata pendaftaran percuma itu memperlihatkan komitmen kerajaan dalam membantu meningkatkan ekosistem perniagaan dalam talian yang sihat dan beretika, meyakinkan pengguna untuk membuat urus niaga dalam talian dengan selamat dan langkah pencegahan melindungi pengguna daripada penipuan urus niaga dalam talian atau secara fizikal.
Sehingga 31 Okt tahun ini, katanya, sebanyak 4,181 entiti perniagaan dalam talian telah berdaftar dengan SSM BizTrust, dengan sejumlah 629 entiti perniagaan didaftarkan pada tahun ini.
Beliau berkata jumlah itu masih kecil iaitu hanya 1.12 peratus daripada 373,213 peniaga dalam talian yang direkodkan SSM dan tidak termasuk peniaga dalam talian yang bergerak secara bersendirian dan tidak memasarkan produk mereka di platform pasaran ternama.
Beliau berkata pandemik COVID-19 sejak awal 2020 telah mempengaruhi corak urus niaga peruncitan negara yang banyak beralih kepada perniagaan dalam talian, dengan peningkatan 35 peratus transaksi dalam talian dan 53 peratus peningkatan pengguna transaksi dalam talian. -BERNAMA