Pendaftaran GTA masih diproses

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 26 Okt 2022 (The Capital Post): Pendaftaran Gerakan Tanah Air (GTA) masih diproses Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), kata Ketua Pengarah RoS, Mohd Nawardi Saad.

“Belum diluluskan atau ditolak,” katanya ketika dihubungi BERNAMA mengenai perkembangan pendaftaran GTA, hari ini.

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam dilaporkan berkata, gabungan politik itu terpaksa menggunakan Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) sebagai ganti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) susulan kerajaan tidak meluluskan pendaftarannya.

GTA mengemukakan permohonan kepada RoS pada 18 Ogos lalu untuk didaftar selepas ditubuhkan pada 4 Ogos.

Gerakan itu dianggotai oleh PEJUANG, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA).

Mohd Nawardi berkata, masih ada pindaan draf perlu dilakukan membabitkan perlembagaan GTA supaya selari dengan dasar dan undang-undang sedia ada.

“Kita tiada halangan untuk luluskan jika perlembagaan yang dicadangkan menepati dasar ditetapkan,” katanya.

Menurut Mohd Nawardi, wakil GTA hadir ke RoS hari ini untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pegawai RoS berhubung pendaftaran GTA.

Sebelum ini, GTA dilapor berhasrat bertanding di kira-kira 120 kerusi Parlimen pada PRU15.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 November, penamaan calon pada 5 November dan pengundian awal pada 15 November.

– BERNAMA -BH

(The Capital Post)

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427