Pemulihan sekitar lokasi tanah jerlus dijangka sehingga 6 bulan – Datuk Bandar KL

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Proses pemulihan dan pembinaan semula lokasi sekitar insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini, dijangka memerlukan tempoh tiga hingga enam bulan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata kerja pemulihan dan pembinaan semula akan membabitkan laluan sepanjang kira-kira 200 meter dari Wisma Yakin sehingga Pondok Polis di Jalan Masjid India.

Kawasan itu, katanya ketika ini ditutup dengan penghadang bagi membolehkan kerja pembaikan dan kajian terperinci dijalankan berhubung sistem utiliti bawah tanah, selain beberapa perkara berkaitan oleh agensi dan pihak berkenaan.

“Untuk melihat sistem utiliti bawah tanah itu memerlukan masa dan ia akan melibatkan agensi seperti Indah Water Konsortium serta Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) untuk membuat pemeriksaan sekiranya terdapat kebocoran pada paip.
“Selain itu, kita juga akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk memeriksa kabel, kerana di kawasan dinding (yang berada di bawah tanah) juga terdapat kabel syarikat itu, manakala Jabatan Mineral dan Geosains pula akan memberikan butiran terperinci tentang laporan teknikal dan kestabilan tanah (sekitar lokasi kejadian),” katanya ketika dihubungi BERNAMA.

Maimunah berkata, satu jawatankuasa khas dibentuk pada 25 Ogos lalu juga dijadual membuat perbincangan esok berhubung tindakan selanjutnya yang perlu diambil.

Beliau berkata, peniaga sekitar lokasi kejadian boleh menjalankan perniagaan seperti biasa, namun orang ramai dinasihatkan tidak melepasi pita kuning dipasang pasukan polis dan hanya menggunakan laluan pejalan kaki sepanjang proses pemulihan dijalankan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan G Vijaya Lakshmi, 48, dihentikan dan beralih ke fasa ‘search and recovery’ selepas sembilan hari pencarian mangsa dijalankan.
-BeritaHarian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427