KUALA LUMPUR: Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) menggesa kerajaan memperkasakan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap pesalah bahasa.
Gesaan itu dibuat susulan ada pihak mempertikaikan langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan penguatkuasaan pematuhan lesen dan penggunaan bahasa Melayu di papan tanda premis perniagaan.
Presiden PEMUISI, Datuk Dr Radzuan Ibrahim, berkata DBP perlu diberi kuasa lebih besar untuk menangani isu bahasa termasuk kesalahan di papan tanda perniagaan supaya bahasa kebangsaan digunakan dengan betul dan sempurna dalam kalangan masyarakat.
“DBP memerlukan ‘taring’ untuk bertindak menangani kesalahan bahasa dengan lebih berkesan.
“Taring atau kuasa khusus dalam menangani dan menguatkuasakan kesalahan bahasa amat diperlukan dan tidaklah sekadar memberi nasihat sahaja seperti amalan sekarang yang terbukti tidak berkesan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Khamis lalu, DBKL melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan, termasuk Segambut, Pudu dan Jalan Silang di ibu kota.
Tindakan itu menyebabkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL itu mencetuskan tindak balas melampaui batas, menimbulkan rasa tidak puas hati serta mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong.
Semalam, Dewan Rakyat kecoh apabila seorang Ahli Parlimen pembangkang membangkitkan mengenai kenyataan King Sing itu, manakala bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, menganggap pelancong kurang tertarik datang ke negara ini bukan hanya disebabkan tiada papan tanda bertulisan Mandarin semata-mata, sebaliknya promosi pelancongan tidak dilakukan dengan sewajarnya.
Radzuan berkata, pihak mempertikaikan langkah penguatkuasaan DBKL adalah tidak bertanggungjawab.
“Mereka tidak memahami peruntukan undang-undang dan peraturan berkenaan penggunaan bahasa kebangsaan di papan tanda terletak di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Adalah menyedihkan apabila tindakan itu dibuat seseorang memegang jawatan tinggi dalam kerajaan sepatutnya faham dengan segala peruntukan ada,” katanya
Radzuan berkata, semua pihak tidak boleh membenamkan undang-undang dan peraturan sedia ada hanya untuk menjaga hati pelancong asing semata-mata.
“Saya percaya tidak ada negara di dunia ini sanggup mengenepikan undang-undang dan peraturan, lebih-lebih lagi membabitkan soal bahasa kebangsaan demi memuaskan hati pelancong asing.
“Alasan dinyatakan ini amat tidak bertanggung jawab dan tidak harus dilayan,” katanya.
Radzuan turut menyifatkan alasan kononnya tindakan penguatkuasaan ke atas papan tanda yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan menyebabkan Malaysia akan dianggap sebagai negara perkauman.
“Alasan ini mengarut dan tidak sepatutnya diucapkan dari mulut rakyat di negara ini kerana banyak negara di dunia yang menggunakan bahasa negara masing-masing dalam urusan negara, termasuk bahasa di papan tanda perniagaan.
“PEMUISI turut menggesa pihak tertentu supaya menghentikan ucapan atau kenyataan boleh menyakitkan hati, sebaliknya memberi fokus kepada usaha memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat yang terkesan, khususnya golongan B40,” katanya.
-BeritaHarian