KUALA LUMPUR: Public Bank Bhd akan terus membantu individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan bantuan pembayaran balik termasuk penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr Tay Ah Lek, berkata bank akan terus menyediakan pelbagai bantuan pembayaran balik yang komprehensif untuk individu dan PKS.
“Public Bank menyediakan bantuan pembayaran balik kepada peminjam yang memerlukan termasuk penjadualan dan penstrukturan semula bayaran.
“Dengan kenaikan kadar faedah, peminjam juga boleh memohon untuk mengekalkan jumlah ansuran bulanan mereka sekarang bagi menyokong usaha berterusan kerajaan sepanjang fasa pemulihan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ah Lek berkata, sebagai ‘bank untuk orang ramai’ yang sudah bertapak sejak 6 Ogos 1966, sudah menjadi tanggungjawab Public Bank untuk membantu peminjamnya.
Beliau berkata, bermula dengan pandemik COVID-19 sehingga bencana banjir yang berlaku baru-baru ini, Public Bank menawarkan bantuan pembayaran balik dan penangguhan bayaran bagi meringankan beban kewangan peminjam.
Public Bank juga katanya turut menawarkan sokongan kepada PKS untuk membaik pulih dan menggantikan aset perniagaan, misalnya loji dan jentera PKS terbabit yang rosak akibat banjir selain menyediakan bantuan modal kerja.
“Usaha ini dicapai melalui penawaran Kemudahan Bantuan Bencana Bank Negara Malaysia (BNM), yang mana Public Bank telah menyediakan pembiayaan berjumlah lebih daripada RM38 juta setakat ini,” katanya.
Ah Lek berkata, selain itu Public Bank juga memberi penekanan terhadap usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP).
Beliau berkata, khidmat nasihat itu membantu peminjam agar lebih memahami faktor yang mempengaruhi permohonan pembiayaan mereka.
“Dengan mengambil tindakan berdasarkan faktor tersebut, kelayakan peminjam boleh ditingkatkan untuk memperoleh pembiayaan pada masa hadapan,” katanya.
– BH