‘Pemimpin BN tidak terpilih jadi calon perlu berbesar hati’

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEREMBAN, 3 Nov 2022 (The Capital Post): Pemimpin Barisan Nasional (BN) yang tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu berbesar hati dengan memberi peluang kepada pelapis yang dipilih mewakili parti.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata calon yang dipilih, disaring dan disenarai pendek itu adalah wakil kepada parti.

“Setiap pilihan raya sama ada PRU atau Pilihan Raya Kecil (PRK) memang akan ada gegaran (rasa tidak puas hati soal calon) kerana ramai yang mahukan calon mereka diberi tempat.

“Tetapi, Insya-Allah dalam dua ke tiga hari ia akan reda. Yang pentingnya parti yang mengambil bahagian dalam pilihan raya, yang kalah ataupun menang adalah parti.

“Oleh itu, kita perlu beri peluang kepada pelapis iaitu orang lain yang dulu menyokong kita ketika kita dicalonkan atau diberi mandat untuk mewakili parti. Ini yang dinamakan proses peremajaan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Calon Parlimen PRU15 Peringkat Negeri Sembilan di Wisma UMNO, di sini, hari ini.

Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN merangkap Timbalan Presiden UMNO mengulas mengenai segelintir pemimpin parti itu yang tidak berpuas hati selepas nama mereka tidak dicalonkan semula pada PRU15.

Katanya, hasrat parti untuk mendapatkan mandat rakyat bagi mentadbir negara perlu diterjemahkan secara bersama.

“Jadi, jangan sangat kita tersangkut kaki walaupun ada daripada calon kita tidak dapat diberi tempat atau daripada calon itu sendiri yang bercita-cita untuk meneruskan khidmat mereka,” katanya.

-BH

(The Capital Post)

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427