Pemimpin agama gesa rakyat main peranan lawan Covid-19

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Pemimpin agama menggesa semua rakyat memainkan peranan untuk menentang Covid-19, susulan penutupan rumah ibadat di beberapa negeri akibat lonjakan kes.

Presiden Hindu Sangam Malaysia, RS Mohan Shan berkata, penganut Hindu sedang menyambut perayaan Navarathri selama 9 hari.

Sambutan itu bermula 17 Okt lalu dan akan berakhir 26 Okt ini. Beliau menyuarakan kesedihan kerana perayaan itu disambut secara sederhana dan sesetengah kuil terpaksa ditutup susulan lonjakan kes Covid-19.

Bagaimanapun, beliau menekankan keselamatan orang ramai lebih penting dan menggalakkan rakyat menjaga diri serta mengamalkan norma baru penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan sentiasa mencuci tangan.

“Saya meminta penganut untuk bertenang dan menerima keadaan ini. Khasnya mereka yang berada di Lembah Klang dan juga Sabah, bertenang kerana tiada apa yang perlu dibimbangkan.

“Jaga diri, keluarga anda dan bersembahyang di rumah,” katanya kepada FMT sambil menambah penganut boleh mengambil bahagian dalam sembahyang secara maya.

Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, umat Islam yang sengaja melanggar arahan kerajaan, sama ada mengenai pemakaian pelitup muka atau berada di rumah ketika kuarantin, sama seperti melakukan dosa.

“Agama Islam mewajibkan rakyat mematuhi pemerintah di dalam perkara baik dan bermanfaat. Apatah lagi keingkaran tersebut boleh menyebabkan jangkitan wabak kepada orang ramai dan memudaratkan mereka.

“Janganlah kita menjadi ejen penyebaran Covid-19 yang menyukarkan orang ramai menjalani kehidupan harian mereka disebabkan sikap degil kita yang tidak mahu mematuhi SOP ditetapkan kerajaan bagi memutuskan rantaian wabak berkenaan.

“Amatlah wajar kita menghagai mereka yang berjuang dan berkorban melawan virus korona ini di barisan depan untuk memelihara nyawa rakyat Malaysia,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pihak berkuasa bertungkus lumus memerangi pandemik itu dan ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk melindungi rakyat.

Setiausaha Agung Majlis Gereja Malaysia, Hermen Shastri berkata, seluruh negara melawan Covid-19 bersama dan senada dengan Wan Salim yang Kementerian Kesihatan bekerja keras untuk negara.

Beliau menasihatkan rakyat memainkan peranan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 dengan sentiasa mengamalkan norma baru serta mengelakkan kawasan sesak.

“Sejajar pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), kita perlu mendukung mereka yang sakit, bersendirian, menganggur, dibeban kewangan dan lain-lain dalam doa kita.

“Memeriksa keadaan orang sedemikian yang kita kenali, atau dengan menyumbang kepada organisasi yang membantu golongan lemah perlu digalakkan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, saat seperti ini turut memberi peluang kepada rakyat memikirkan cara membina masyarakat mapan dengan undang-undang yang mengutamakan kesihatan serta melindungi alam sekitar.

Ketiga-tiga pemimpin agama itu menggesa rakyat terus berdoa untuk negara dan petugas barisan depan yang mempertaruhkan nyawa mereka setiap hari demi rakyat.

“Marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah mengurniakan kepada mereka pahala jihad yang besar kerana mereka berjuang untuk keselamatan dan kesihatan kita semua dengan mendedahkan diri kepada bahaya Covid-19 yang mengancam nyawa kita semua,” kata Wan Salim. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427