KULAI: Pemandu bas ekspres maut, manakala 12 yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 49.4 Lebuh Raya Utara Selatan di sini, awal pagi tadi.
Mangsa yang cedera membabitkan 11 penumpang bas dan seorang pemandu lori.
Komander Operasi Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Mohd Fauzi Md Nor, berkata individu yang maut dikenal pasti sebagai Mohd Sharif A Moin, 48.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 2.15 pagi.
“Kemalangan membabitkan bas ekspres dengan dua lori jenis Scania dan Nissan.
“Sebelas penumpang bas mengalami kecederaan termasuk enam mangsa lelaki, manakala seorang kanak-kanak yang berada dalam bas terbabit tidak mengalami kecederaan.
“Pemandu lori Scania tidak mengalami kecederaan, manakala pemandu lori Nissan mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Fauzi berkata pemandu lori Nissan dan pemandu bas tersepit di tempat duduk pemandu.
Katanya, kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan dibantu lori towing.
“Pemandu bas disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai,” katanya.
-BeritaHarian