Pemain Ukraine dicemuh peminat Terbuka Perancis

Estimate Reading Time: < 1 minute

PARIS: Pemain Belarus, Aryna Sabalenka menewaskan Marta Kostyuk di Terbuka Perancis dengan lawan dari Ukraine itu dicemuh peminat kerana enggan bersalaman dengan lawannya.

Pemain nombor dua dunia dan juara Terbuka Australia, Sabalenka menang 6-3, 6-2 untuk mara ke minggu kedua di Paris buat pertama kali.

Kostyuk berkeras dengan pendiriannya untuk tidak bersalam sebagai bantahan kepada serangan Russia ke atas Ukraine. Belarus adalah sekutu ketenteraan Russia.

Kostyuk, 20, yang mengkritik keputusan penganjur membenarkan pemain Russia dan Belarus beraksi di kejohanan itu, mempersoalkan motif peminat mencemuh dirinya.

“Saya mahu melihat reaksi mereka selepas 10 tahun apabila perang tamat. Saya tidak rasa mereka akan merasa kagum dengan apa yang mereka lakukan.

“Saya tidak menjangkakannya. Mereka sepatutnya malu,” kata Kostyuk, yang berada di ranking ke-39 dunia.

Kostyuk sebelum ini enggan bersalaman dengan rakan senegara Sabalenka dan bekas pemain nombor satu dunia, Victoria Azalenka di Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu. Dia sebaliknya memilih untuk hanya menyentuh raket masing-masing di jaring selepas tamat perlawanan.

“Ia perlawanan yang sukar, juga daripada segi emosi. Saya tidak tahu cemuhan itu untuk siapa, tetapi terima kasih di atas sokongan, ia amat penting,” kata Sabalenka yang memberi tunduk hormat kepada penyokong selepas tamat permainan.

Tahun ini turut menyaksikan era baharu di Terbuka Perancis apabila buat pertama kali sejak tahun 2004, Rafael Nadal tidak beraksi.

Djokovic, juara dua kali, berpeluang mengatasi rekod pemain Sepanyol itu dengan meraih gelaran major ke-23nya.

Bagaimanapun dia perlu menyaingi kehebatan pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz yang baru menjuarai Terbuka Amerika Syarikat. Alcaraz dan Djokovic akan memulakan cabaran masing-masing hari ini. – AFP

– Berita Harian

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427