Pemain, penjaga pusat snuker dikompaun

Estimate Reading Time: < 1 minute

Melaka: Empat lelaki yang dipercayai leka bermain snuker ditahan sepasukan polis di sebuah premis di Telok Mas, di sini, semalam.

Mereka ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri ketika melakukan pemeriksaan Op Pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, pada 5.50 petang.

Ketua JSJ negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pemantauan mendapati terdapat sebuah pusat snuker sedang beroperasi dan terdapat pemain.

Beliau berkata, kesemua empat pemain dan seorang penjaga premis berusia antara 22 hingga 27 tahun kemudiannya ditahan.

“Oleh itu, tindakan kompaun berjumlah RM10, 000 dikenakan kepada penjaga premis dan RM1,500 dikeluarkan kepada setiap pemain mengikut Peraturan 16, Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Siasatan awal dijalankan mendapati premis yang terletak di tingkat satu bangunan rumah kedai itu dikatakan baru dua hari beroperasi sepanjang tempoh PKP 3.0,” katanya.

Beliau berkata, semakan lanjut turut mendapati premis terbabit beroperasi tanpa mempunyai lesen perniagaan.

“Hasil semakan, dua daripada pemain yang ditahan mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan dadah dan jenayah.

“Kesemua mereka kemudian dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk siasatan di bawah Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 2001,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Sukri berkata, pihak turut mengeluarkan lapan lagi kompaun atas pelbagai kesalahan membabitkan pelanggaran SOP PKP 3.0 dalam operasi semalam.-METRO

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427