BANGKOK: Seorang pelancong Perancis cedera selepas digigit seekor buaya ketika cuba mengambil berswafoto (selfie) dengan haiwan ganas itu di Taman negara Thailand dekat sini, kata pegawai.
Kejadian berlaku tengah hari semalam di Khao Yai, lokasi pelancongan rimba dan air terjun terkenal, tiga jam ke utara Bangkok.
“Dia mahu berselfie dengan buaya yang sedang berehat dekat tebing sungai,” kata pegawai taman yang tidak mahu dikenali kepada AFP.
“Buaya itu terkejut dan terus menggigit lututnya.”
Pegawai itu berkata, pihak taman meletakkan papan tanda amaran di kawasan kejadian sejak beberapa tahun lalu apabila dua ekor buaya menjadikan kawasan itu habitatnya.
Mangsa sudah dibawa ke hospital untuk rawatan dan dijangka akan pulih sepenuhnya. – BHarian