Pelaksanaan subsidi bersasar perlu penuhi prinsip keadilan Malaysia MADANI

Estimate Reading Time: 2 minutes

APABILA kerajaan menzahirkan dasar untuk melaksanakan subsidi bersasar, rakyat mula gelisah dan resah memikirkan kemungkinan berlaku lagi kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Dari sudut rakyat, bagaimana pelaksanaan subsidi bersasar akan membantu mengurangkan beban menanggung kos sara hidup semakin tinggi.

Dari sudut kerajaan dan pengurusan perbendaharaan, subsidi berkait rapat dengan dasar ekonomi fiskal. Pengurangan subsidi membolehkan negara mengurangkan defisit dan mencapai sasaran pertumbuhannya. Pasca pandemik COVID-19 menyebabkan ketidaktentuan ekonomi domestik, peningkatan hutang negara dan ketirisan.

Menyedari kelemahan subsidi ini, kerajaan percaya sudah sampai masa untuk melaksanakan subsidi bersasar dengan matlamat memastikan hanya golongan benar-benar memerlukan akan menikmati manfaat subsidi serta memberi keadilan kepada semua golongan pendapatan.

Walaupun pemberian subsidi memberi keburukan kepada ekonomi negara dalam jangka panjang, tidak dinafikan ia memiliki kelebihan membantu rakyat dan mengawal kestabilan ekonomi serta kos sara hidup sekali gus merancakkan pusingan ekonomi.

Pemberian subsidi secara pukal pula dilihat tidak berkesan membantu rakyat terutama berpendapatan rendah kerana turut dinikmati golongan kaya, warga asing dan perniagaan besar. Oleh itu, subsidi perlu ditumpukan kepada kumpulan sasaran yang benar-benar layak menerima dan menikmati subsidi kerajaan.

Pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang 40 peratus subsidi disalurkan kerajaan kepada rakyat turut dinikmati golongan kaya menguatkan lagi asas mengapa subsidi bersasar perlu dilaksanakan kerana ia tidak mewujudkan keadilan sewajarnya.

Bagaimanapun, rancangan kerajaan ini wajar dilakukan berhati-hati dan teliti supaya tidak mewujudkan kesan rantaian kepada kehidupan rakyat seperti kenaikan harga barang serta kos sara hidup. Paling penting, elemen pelaksanaannya nanti memenuhi prinsip keadilan dalam gagasan Malaysia MADANI.

Subsidi bersasar boleh membuka peluang dan ruang baharu kepada pengeluar serta peniaga untuk mengalihkan kenaikan kos kepada pengguna sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ekonomi gelap berselindung di sebalik pelaksanaan subsidi bersasar tetap berisiko berlaku walaupun pemantauan dilakukan dan undang-undang dikuatkuasakan.

Garis panduan lebih tepat perlu diwujudkan untuk menyalur bantuan atau subsidi iaitu dikira berdasarkan dari segi pendapatan boleh belanja bersih individu dan bukan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah, seperti dicadangkan pakar ekonomi.

Membuat langkah berani hendak melaksanakan subsidi bersasar supaya negara tidak terus dibebani hutang berganda adalah sesuatu yang positif dan menegakkan keadilan namun diharap ia tidak menghukum sebahagian rakyat dan menguntungkan sekelompok masyarakat sahaja.

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427