Pelajar kolej Nigeria dibebaskan selepas dua bulan diculik

Estimate Reading Time: < 1 minute

KANO: Hampir 30 pelajar kolej Nigeria dibebaskan selepas dua bulan diculik kumpulan bersenjata di utara negara ini.

Pelajar kolej mekanisasi perhutanan di Kaduna itu diculik pada Mac lalu, antara siri penculikan besar-besaran yang menyasarkan pelajar sekolah dan universiti Nigeria sejak hujung tahun lalu.

Seramai 10 daripada 39 pelajar yang diculik itu ditemui pasukan keselamatan beberapa minggu selepas kejadian berlaku, namun nasib baki pelajar tidak diketahui.

Pegawai keselamatan tempatan, Samuel Aruwan, dalam satu kenyataan berkata, pembebasan baki pelajar kolej berkenaan dimaklumkan oleh Polis Daerah Kaduna. Kenyataan itu bagaimanapun tidak memperincikan mengenai keadaan pelajar terbabit dan bagaimana mereka dibebaskan.

Presiden Muhammadu Buhari menyambut baik pembebasan pelajar berkenaan dan menggesa supaya kumpulan penculik turut membebaskan mangsa lain.

“Kami amat gembira dengan berita ini.

“Kami menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu secara langsung dan tidak langsung dalam usaha ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian di Kaduna pada Mac lalu, pasukan tentera berjaya menyelamatkan 180 pelajar selepas berlaku pertempuran dengan kumpulan bersenjata.

Kumpulan penjenayah bersenjata berat terbabit menjadi ancaman keselamatan di Nigeria selepas melakukan serangan ke atas perkampungan, merompak ternakan dan menculik untuk mendapatkan wang tebusan.

Kini, kumpulan terbabit kembali menjadikan sekolah luar bandar dan universiti sebagai sasaran mereka menculik pelajar dan murid sekolah.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427