Pekerja Bangladesh terkandas minta bantuan Dhaka untuk kembali ke Malaysia

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Beribu pekerja Bangladesh yang pulang bercuti dan terkandas akibat penularan Covid-19, mengadakan demonstrasi di depan Kementerian Luar di Dhaka semalam untuk menuntut mereka segera dibenarkan kembali ke Malaysia.

Menurut New Age Bangladesh, pekerja itu memaklumkan visa kebanyakan pekerja asing terbabit sudah tamat tempoh menyebabkan mereka tidak boleh kembali ke Malaysia bekerja dan berdepan masalah rumit.

Mereka berkata, lebih 25,000 pekerja yang dijadualkan ke Malaysia, terkandas di Bangladesh akibat pandemik itu dan meminta bantuan kerajaan mereka.

Menurut laporan itu, Setiausaha Luar Bangladesh, Masud Momen memberi jaminan kepada pekerja itu yang kerajaan mereka akan membincangkan perkara itu dengan Putrajaya.

Ia memetik pekerja asing yang hanya dikenali sebagai Md Mohiuddin berkata, beliau pulang ke Bangladesh pada 28 Jan dan dijadualkan kembali ke Malaysia pada 6 Mei lalu, tetapi kini beliau terkandas akibat pandemik itu.

Katanya, visanya tamat tempoh 6 Mei lalu dan kini beliau tidak tahu sama ada dirinya bersama 20 pekerja lain dari kampungnya di Taltali, Barguna akan dibenarkan kembali ke Malaysia untuk bekerja.

Seorang lagi pekerja asing, Nazrul Kabiraj memberitahu New Age, beliau datang ke Malaysia 3 tahun lalu menggunakan wang bapanya yang dikumpul dengan menjual tanah mereka dan barang perhiasan ibunya.

Kumpulan pekerja itu meminta bantuan kewangan daripada kerajaan Bangladesh kerana mereka sudah menganggur lebih 7 bulan. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427