SIDON: Pejuang Palestin dilaporkan bersetuju melaksanakan gencatan senjata baharu, semalam, selepas lebih seminggu berlakunya keganasan maut di kem pelarian terbesar di Lubnan.
Perkara itu disahkan pegawai kem Palestin, Fuad Othman kepada AFP ketika dihubungi melalui telefon.
Gencatan senjata itu melegakan pejuang pergerakan Fatah, pimpinan Mahmud Abbas, yang mengawal kem terbabit, menentang serpihan kumpulan pejuang Islam lain.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata… mulai hari ini jam 6 petang (1500 GMT),” katanya.
Bulan Sabit Merah Palestin cawangan Lubnan sebelum ini berkata sekurang-kurangnya 17 mangsa terbunuh dan kira-kira 100 lagi cedera dalam pertempuran di kem pelarian Ain al-Helweh, di pinggir bandar pelabuhan Sidon.
Seorang pegawai Palestin yang rapat dengan Fatah turut mengesahkan perjanjian itu, namun meminta namanya tidak disiarkan.
Perjanjian itu dibuat selepas Speaker Parlimen Lubnan, Nabih Berri, melakukan pertemuan secara berasingan dengan Azzam al-Ahmad dari Fatah dan Mussa Abu Marzuk dari Hamas, semalam.
Othman berkata, Hamas bagaimanapun tidak terbabit dalam pertempuran itu tetapi saling berhubung dengan kumpulan pejuang Islam terbabit.
Katanya, gencatan senjata sebelum ini gagal apabila pihak yang terbabit dalam pertelagahan gagal memenuhi komitmen untuk menyerahkan pejuang yang dikehendaki pihak lain.
“Lima pejuang Fatah yang maut ketika pertempuran disemadikan semalam,” katanya.
Sementara itu, menurut wartawan AFP di Sidon, kem terbabit dilaporkan berada dalam keadaan tenang selepas gencatan senjata berkuatkuasa.
Menurut tentera pula, ketua tentera Lubnan, Joseph Aoun, melawat briged Sidon pada hari Khamis dan diberi taklimat mengenai misi yang dijalankan ketika pertempuran di dalam kem itu.
Berdasarkan konvensyen yang lama diamalkan, tentera Lubnan tidak masuk campur dalam operasi kem Palestin dan membiarkan mereka mengendalikan keselamatan sendiri.
Kem Ain al-Helweh adalah tempat perlindungan kepada lebih 54,000 pelarian berdaftar dengan ribuan rakyat Palestin yang menyertai mereka dalam beberapa tahun kebelakangan ini dari negara jiran Syria, selepas melarikan diri dari perang saudara di sana.
Menurut Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian Palestin (UNRWA), pertempuran itu menyebabkan ratusan keluarga kehilangan tempat tinggal.
Lima hari pertempuran di kem pada akhir Julai membunuh 13 orang dan mencederakan puluhan yang lain.
Saingan utama adalah antara Fatah dan Hamas, puak Palestin yang paling menonjol.
Fatah mendominasi Pihak Berkuasa Palestin, yang berpangkalan di Tebing Barat yang diduduki Israel, manakala Hamas mengawal Semenanjung Gaza.
– AFP
-TheStar