Peguam terkejut MPSJ saman aktivis haiwan kerana fitnah

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Seorang peguam terkejut dengan tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memfailkan saman fitnah terhadap seorang aktivis haiwan kerana mendakwa kakitangan pihak berkuasa tempatan itu menyerangnya ketika menangkap seekor anjing.

Rajesh Nagarajan berkata, MPSJ menyaman anak guamnya, Koh Tat Meng kerana memfitnah selepas lelaki itu memfailkan saman sivil terhadap MPSJ pada Disember lalu.

“Kami terkejut wang pembayar cukai digunakan untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap Koh.

“Pembayar cukai di Subang Jaya perlu meminta penjelasan daripada MPSJ atas penggunaan dana ini,” katanya kepada FMT.

Pada 18 Okt tahun lalu, Koh didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya di luar pangsapuri Vista Millennium di Puchong, Selangor.

Koh boleh dipenjara maksimum 2 tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rajesh berkata, anak guamnya hanya merayu kakitangan MPSJ itu mengasihani anjing terbabit.

“Jika anda lihat video itu, pegawai MPSJ yang bertindak kejam terhadap anjing itu.”

Video kejadian itu yang diambil isteri Koh, Diong Mei Li yang tersebar di media sosial menunjukkan Koh cuba campur tangan ketika beberapa kakitangan MPSJ menangkap seekor anjing.

Seorang daripada pegawai itu dirakam menekan Koh ke sebuah kereta, selepas dia menyebut nama Nabi Muhammad beberapa kali.

Koh kemudian berkata, dia tidak berniat menghina Islam, tetapi sekadar meminta kakitangan MPSJ menunjukkan belas kasihan terhadap anjing itu.

Rajesh berkata, MPSJ menyaman anak guamnya selepas dikritik Tuanku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan rayuan berterusan Koh untuk PBT itu mempertimbangkan pendirian mereka.

“Ini menimbulkan isu sama ada badan awam yang berperanan berkhidmat kepada orang ramai dibenarkan menyaman rakyat kerana memfitnah.”

Katanya, badan awam dibiayai rakyat dan “tidak sesuai” MPSJ menggunakan wang pembayar cukai untuk menyaman orang awam kerana memfitnah.

Sebelum ini, Exco Selangor, Ng Sze Han dilaporkan kesal dengan tindakan kasar kakitangan MPSJ itu, tetapi berkata prosedur perlu dipatuhi untuk memastikan kesejahteraan haiwan dan keselamatan anggota PBT. -FMT

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427