Pegawai penguatkuasa rugi RM370,000 jadi mangsa Macau Scam

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUANTAN: Seorang pegawai agensi penguatkuasaan bukan setakat kerugian RM370,000, malah kini turut menanggung hutang bank selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

Mangsa membuat pinjaman bank dan mengeluarkan wang simpanannya untuk diserahkan kepada sindiket terbabit kononnya bagi menyelesaikan kes jenayah dikaitkan dengan dirinya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada pertengahan Jun lalu.

Katanya, mangsa yang berusia 33 tahun mendakwa ‘pegawai LHDN’ terbabit mendakwa syarikat yang didaftarkan atas namanya tidak membayar cukai.

“Suspek memaklumkan syarikat atas nama mangsa terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram berdasarkan semakan dilakukan.

“Panggilan berkenaan kemudian disambungkan kepada seorang lagi lelaki kononnya pegawai polis dikenali sebagai ‘Inspektor Azman’ yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa memasukkan sejumlah wang bagi menyelesaikan kes jenayah yang dihadapinya jika tidak mahu ditahan.

“Mangsa bersetuju dan memasukkan wang simpanannya berjumlah RM120,000 ke dalam akaun yang diberikan suspek secara beransur-ansur bermula 17 hingga 21 Jun lalu,” katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat pinjaman bank selepas mendakwa tidak lagi memiliki wang simpanan.

“Mangsa menuruti permintaan suspek dan membuat pinjaman berjumlah RM250,000 daripada dua bank di daerah ini.

“Selepas itu, mangsa memuat turun aplikasi myBNM dan mengisi segala butiran bank dalam aplikasi berkenaan seperti diminta suspek,” katanya.

Beliau berkata, pada 30 Jun lalu, mangsa mendapati wang pinjaman yang masuk ke akaun banknya tiada dan semakan transaksi mendapati wang terbabit dipindahkan ke beberapa akaun bank lain.

“Pada Selasa (semalam), mangsa menerima panggilan daripada sebuah bank memaklumkan berlaku transaksi mencurigakan terhadap akaun bank miliknya dan dinasihatkan membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam dan rakaman percakapan diambil. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-BH

Comments (0)
Add Comment

Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427